Lokasi strategik beri impak besar kunjungan awam

Pelita Raya Terengganu 2025

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kejayaan penganjuran Pelita Raya Terengganu 2025 (PeliTer@KSNT 2025) yang menarik lebih 170,000 pengunjung membuktikan bahawa pemilihan lokasi yang tepat memainkan peranan penting dalam keselesaan dan keterujaan pengunjung.

- Advertisement -

Bertempat di Tasik Pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, lokasi ini lebih mesra pengunjung berbanding tempat terdahulu, sekali gus menjadi faktor utama lonjakan kehadiran orang ramai ke festival ini.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, keputusan memilih lokasi itu sebagai tapak penganjuran tahun ini telah memberi impak besar kepada pengalaman pengunjung.

“Setiap tahun kita mengadakan penambahbaikan supaya objektif tercapai dan alhamdulillah pada kali ini kita mampu untuk mencapai pengunjung seramai lebih daripada 170,000 orang.

“Saya percaya masih banyak lagi ruang yang boleh kita guna bila kita laksanakan untuk penambahbaikan dan salah satu penambahbaikan yang ketara kita buat pada tahun ini ialah ialah tempat di sini.

“Saya rasa (tempat ini) memudahkan pengunjung pengunjung berbanding dengan tempat sebelum ini dengan jem sesaknya parking tak ada dan sebagainya.

“Jadi ini suasana yang lebih baik dan insya-Allah, lokasi ini akan terus digunakan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pelita Raya Terengganu (PELITER) 2025 di Tasik Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam.

Mengulas mengenai cadangan untuk memanjangkan tempoh acara lebih daripada empat hari bagi memberi peluang kepada pengunjung dari luar negeri untuk turut serta, beliau berkata, perkara itu akan dipertimbangkan pada masa hadapan.

“Itu kita akan pertimbangkan sebab memang empat hari agak singkat terutama kepada pengunjung daripada luar tapi walau apa pun kita ada kos tertentu yang terpaksa ditanggung untuk pada tahun ini.

“Insya-Allah kita akan bersedia dengan lebih awal untuk tahun depan untuk mengadakan mungkin dipanjangkan beberapa hari dan kita akan bersedia lebih awal untuk menangani kekurangan waktu ini,” katanya.

Selain memperkenalkan tradisi pelita raya kepada masyarakat luar, beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk memperluaskan penyertaan kepada lebih ramai komuniti dan negeri lain. 

“Kita sebenarnya kalau boleh nak penyertaan daripada kalangan rakyat daripada komuniti yang tertentu dan insya-Allah kita tengok balik.

“Saya juga percaya penyertaan daripada negeri-negeri lain pada masa hadapan juga akan memeriahkan lagi insya-Allah, walaupun mungkin tidak semua negeri ada pelita raya tapi kenapa tidak masing-masing kita sama-sama meraikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -