Back to School 2025: EPIC tingkat penerima bantuan

Muhtar Suhaili (kiri), Amzad menyampaikan bantuan persekolahan EPIC Back To School, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 100 murid daripada keluarga kurang bernasib baik  menerima bantuan menerusi program EPIC Back to School 2025 di bawah Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad). 

- Advertisement -

Ahli Lembaga Pengarah EPIC, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jumlah penerima bantuan tahun ini meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, selaras dengan peningkatan pendapatan anak syarikat kerajaan negeri itu. 

“Kalau tahun lepas kita hanya membantu 100 penerima di seluruh Terengganu, tahun ini, Alhamdulillah, EPIC berjaya meningkatkan jumlah penerima kepada 300 orang. 

“Bagi peringkat Parlimen Kuala Terengganu, kita menyalurkan bantuan kepada 100 murid yang dikenal pasti menerusi penilaian pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Meliputi kawasan Batu Buruk, Ladang, Bandar dan Wakaf Mempelam,” katanya pada sidang media selepas program itu di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini hari ini.

Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan HSSEQ, Rusdi Ngah. 

Menurut Amzad, murid yang terpilih menerima bantuan adalah daripada keluarga berpendapatan rendah, khususnya kumpulan B40. 

“Sebahagian besar penerima adalah murid sekolah rendah, termasuk mereka yang baru memulakan Tahun Satu. Ada juga murid daripada tadika, prasekolah serta sekolah menengah, termasuk sekolah jenis kebangsaan seperti Sekolah Chong Hwa Wei Sin. 

“Kami bersyukur dapat memastikan bantuan ini diagihkan secara seimbang kepada semua penerima,” ujarnya. 

Jelasnya lagi, bantuan disalurkan dalam bentuk baucar bernilai RM200 setiap seorang, membolehkan penerima membeli keperluan sekolah mengikut keperluan masing-masing. 

“Baucar ini memberi fleksibiliti kepada ibu bapa. Kadang-kadang, ada yang sudah membeli beg sekolah, jadi mereka boleh gunakan baucar ini untuk membeli barang lain yang diperlukan,” tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu. 

Beliau juga berharap penerima menggunakan baucer untuk tujuan untuk pembelian barang barang sekolah seperti mana yang diperlukan.

Lebih istimewa, program kali ini turut memberi peluang kepada murid-murid menjalani pelbagai aktiviti menarik di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr Ts Muhtar Suhaili dalam ucapannya berkata, pengalaman itu diharap dapat membuka minda para pelajar mengenai peluang kerjaya masa hadapan, selain menjadi inspirasi untuk mencapai kejayaan. 

“Kami berharap bantuan ini menjadi penyuntik semangat kepada murid-murid untuk memulakan musim persekolahan baharu dengan azam dan tekad yang lebih segar. 

“Inisiatif ini juga diharapkan mendorong mereka berusaha gigih mencapai kecemerlangan akademik dan kehidupan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2025

- Advertisement -