
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mula melaksanakan inisiatif bagi memelihara dan menjaga seni warisan sulaman kelingkan daripada hilang dimamah arus pembangunan serta kemajuan.
Justeru Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, satu program latihan intensif akan dibuat selama empat bulan bermula Mei.
Beliau berkata, aktiviti anjuran oleh Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) itu mendapat sokongan penuh dari Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC).
“Kita menyeru belia dan beliawanis di Kelantan berumur 18 tahun ke atas khasnya alumni kelas jahitan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) untuk menyertai program ini.
“Bagaimanapun ia terhad 20 pelajar sahaja untuk menjalani latihan berelaun bermula Mei hingga Ogos ini,” katanya dipetik dari Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) hari ini.
Sulaman kelingkan menggunakan benang logam pipih bersadur emas, perak serta tembaga yang menjadikan seni kraf itu bernilai tinggi dan hanya mampu dihasilkan pakarnya sahaja.
Bahkan kain kelingkan diperbuat daripada tenunan benang logam pipih itu amat istimewa dan unik melambangkan keindahan warisan budaya masyarakat Melayu.
Rohani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas berkata, seni sulaman itu sering menghiasi pakaian tradisional seperti kurung, kebaya dan selendang.
Menariknya ujar beliau, kesenian tersebut kini hanya diusahakan di Kelantan dan Sarawak, dengan motif dan corak bunga yang berbeza mengikut identiti negeri-negeri itu.
Menurutnya latihan intensif bersama pakar industri tersebut di samping sijil pengiktirafan dapat memberikan peluang bagi penghasilan produk tradisional bermutu dan bernilai tinggi.
PPWK atau individu yang mempunyai asas kemahiran menjahit atau menyulam, sihat tubuh badan, aktif serta berkomitmen tinggi dan sedia memberikan usaha sepenuhnya dipelawa menyertai.
Pendaftaran program tersebut boleh dibuat melalui pautan berikut https://forms.gle/xVNLmNdtMZV5o36i9
Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui https://wasap.my/60139845917/PendaftaranTekstil. – HARAKAHDAILY 19/1/2025




















