
KOTA BHARU: Menteri Besar melakukan lawatan kerja kerajaan negeri ke Kemboja selama empat hari bermula Jumaat bagi melihat sendiri perkembangan Islam di negara itu.
Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dalam satu hantaran Facebook berkata, pertumbuhan aktiviti dakwah Islam di negara minoriti umat Islam itu semakin subur saban tahun.
Beliau berkata sekitar ibu negaranya, Phnom Penh terdapat sebanyak 13 masjid sangat meriah selain diimarahkan oleh imam yang mendapat pendidikan agama di Kelantan.
“Perkembangan Islam amat subur dan harmoni bersama masyarakat beragama Buddha yang lain, malah fungsi 13 masjid sekitar bandar raya ini diperkasa peranan asatizah dan imamnya.
“Sebahagian daripada mereka mendapat asuhan dan tarbiah agama dari Bumi Serambi Makkah, Tanah Serendah Sekebun Bunga,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
Pada lawatan tersebut rombongan turut mengadakan pertemuan Mufti Kemboja, Oknha Syeikh Kamaruddin Yusof bagi mengeratkan lagi hubungan Kelantan-Kemboja.
Usaha yang mula terjalin sejak 2001 itu diterjemahkan melalui pelaksanaan sukatan pendidikan digubal Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).
Rombongan itu dimaklumkan terdapat 45 sekolah di Kemboja termasuk Maahad Muhammadi Beng Broul yang menggunapakai silibus pengajian dirangka YIK dan melaksanakan SMU.
Malah dalam perjumpaan tersebut Mufti Kemboja turut meluahkan penghargaan terhadap peranan YIK dan kerajaan negeri dalam membantu perkembangan agama Islam di negara itu.
Menurutnya, kerajaan negeri dengan kemampuan akan memanfaatkan sepenuhnya hubungan yang sedia terjalin sebelum ini untuk pastikan perkembangan agama Islam terus subur.
Justeru beliau berkata, tanggungjawab YIK serta Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) diperkukuhkan.
“Pelan strategik serta perkongsian pintar sistem pendidikan Islam dengan peranan YIK, KIAS dan YAKIN antara negeri Kelantan dan Kemboja akan dimanfaatkan semaksimanya.
“Usaha ini bagi memastikan aktiviti dan perkembangan dakwah Islam di bumi Kemboja akan terus subur, Insya-Allah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 19/1/2025











