
KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dianggap tidak menyelesaikan masalah utama sektor kesihatan.
Ketua Lajnah Kesihatan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, sebaliknya ia menambah tekanan kepada pegawai perubatan.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, sudah sedia terbeban dengan isu kekurangan kakitangan dan ketidakadilan dalam sistem elaun.
Katanya, WBB hanya mengubah jadual kerja tanpa memperbaiki aspek asas seperti beban tugas, kebajikan pekerja dan kualiti penjagaan kesihatan.
“Masalah kritikal WBB tidak boleh diabaikan seperti elaun ‘on-call’ tidak adil, doktor bekerja shift malam hari biasa 3 petang hingga 9 pagi tidak diberikan elaun tambahan, walaupun mereka menghadapi tekanan kerja tinggi dan risiko ‘burn-out’.
“Sistem ini menimbulkan ketidakadilan mendalam dan mengabaikan keperluan tenaga kerja perubatan kritikal. Seterusnya dengan pelaksanaan WBB, kekurangan tenaga kerja di hospital menyebabkan doktor dan jururawat menanggung beban kerja semakin berat.
“Doktor terpaksa bekerja dalam keadaan tertekan, akhirnya mengorbankan kesihatan fizikal dan mental mereka. WBB gagal memberikan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi dijanjikan.
“Keadaan ini tidak hanya menjejaskan kesejahteraan doktor, tetapi juga membahayakan keselamatan pesakit kerana keletihan boleh menyebabkan kesilapan klinikal yang serius,” katanya dalam satu kenyataan.
Fakhruddin sehubungan itu mencadangkan beberapa langkah segera bagi memperbaiki situasi tersebut antaranya suruhanjaya ini perlu menyemak semula status kontrak pegawai perubatan dan tenaga kerja kesihatan lain
“Penambahan tenaga kerja seperti jururawat dan pembantu perubatan untuk mengurangkan beban kerja. Naikkan elaun ‘on-call’ sama ada pada hari bekerja ataupun hari cuti sebagai balasan setimpal kepada kerja mereka dalam merawat pesakit.
“Semak semula gaji asas pegawai perubatan agar setanding dengan negara jiran seperti Singapura dan Australia. Sediakan juga waktu rehat mencukupi selepas ‘on-call’, terutamanya bagi jabatan kritikal seperti jabatan bius dan kecemasan.
“Akhirnya, KKM perlu menyediakan kemudahan sokongan seperti taska di hospital, bilik rehat yang selesa, makanan percuma dan program sokongan mental untuk doktor,” ujarnya.
Beliau juga percaya bahawa pegawai perubatan yang dihargai adalah asas kepada sistem kesihatan kukuh.
“Tanpa tindakan segera, WBB bukan sahaja akan menjejaskan kesejahteraan doktor, tetapi juga meruntuhkan keyakinan terhadap sistem kesihatan awam.
“Oleh itu, kami menyeru KKM untuk menangguhkan pelaksanaan WBB sehingga semua isu kekurangan tenaga kerja dan elaun ‘on-call’ yang rendah diselesaikan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan untuk memperbaiki status tenaga kerja kesihatan dan melabur dalam kebajikan tenaga kerja kesihatan secara berterusan.
“Kita memerlukan reformasi yang menyeluruh untuk memastikan tenaga kerja kesihatan kita dihargai dan rakyat mendapat penjagaan berkualiti. Doktor yang dihargai, adalah jaminan untuk rakyat yang sihat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2025











