
KUBANG PASU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin telah mengadakan lawatan kerja ke Dusun Riffa, MD2 Botanic Cafe & Resort, Changlun, di sini kelmarin.
Lawatan turut disertai Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang ingin melihat sendiri prasarana disediakan dusun ini antara lain untuk mempromosikan Daerah Kubang Pasu sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
“Sukar digambarkan keterujaan saya apabila tiba di Dusun Riffa, yang sedia terkenal sebagai ‘hotspot’ makanan viral dan ‘port ootd’. Segala yang ada di sini mengagumkan dan jelas memperlihatkan aspirasi dan kreativiti pemiliknya,” kata beliau.
Dusun Riffa jelasnya mula beroperasi pada Ogos 2022 dan setakat ini mampu menampung 600 pengunjung bagi setiap satu sesi, dan dibuka kepada umum setiap hari mulai jam 11 pagi hingga 7 malam.
Mengulas lanjut kata Dato’ Salleh, selain mampu mempromosi Daerah Kubang Pasu, ia juga sesuai untuk pencinta alam semula jadi kerana Dusun Riffa antara yang terbaik dijadikan tempat untuk aktiviti ‘healing’.
“Dipagari dengan hutan yang bukan sahaja menjanjikan keindahan, tetapi juga ‘vibe’ yang bukan biasa-biasa. (Dan) jangan cerita tentang menu makanan ala-Thainya.
“ukan sahaja menyediakan banyak pilihan, tetapi cukup berbaloi daripada segi harga,” katanya berikutan tempat tersebut sangat sesuai untuk pelancong yang gemarkan makanan Thailand.

Secara keseluruhannya tambah beliau, Dusun Riffa adalah gabungan konsep, perkhidmatan, kemudahan dan hidangan yang layak diberi lebih daripada lima bintang.
Sementara dari Dusun Riffa kata beliau, pengunjung boleh ke MD2 Botanic Cafe & Resort bagi menikmati kesegaran buah nanas dan produk-produk lain yang dihasilkan daripada nanas.
“Kedudukannya di atas bukit menjadikan ia menanti anda dengan pemandangan yang indah dan suasana nyaman yang sukar diungkap,” tambahnya lagi.
Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali.
Tegasnya, walaupun masih dalam peringkat pembangunan dan dijangka beroperasi sepenuhnya selepas Aidilfitri nanti, namun MD2 Botanic Cafe & Resort kini telah mula menjadi tumpuan pengunjung.
Melihat pada minat dan komitmen yang ditunjukkan oleh pengusahanya, Dato’ Salleh yakin MD2 Botanic Cafe & Resort akan menjadi satu lagi destinasi tumpuan yang dihebat pada masa terdekat.
“Ia tentunya akan mengiringi Dusun Riffa dan produk-produk pelancongan lain di Kedah dalam memberi pengalaman hebat dan unik kepada para pengunjung dan pelawat, sejajar dengan ‘Experience Kedah’ yang menjadi tema TMK 2025,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/1/2025





















