
HULU TERENGGANU: Pasukan komuniti pertama dikenali sebagai Basong Rangers kini beroperasi bagi menangani isu pencerobohan gajah liar di Kampung Basong, di sini.
Penubuhan pasukan tersebut adalah hasil inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Turut bersama adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM500,000 setahun mengurus isu berkaitan.
Antaranya maklum beliau, bagi kerja penyelenggaraan dan pembersihan Sistem Penghalang Elektrik Gajah (SPEG) untuk memastikan keberkesanannya dalam mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
“Basong Rangers adalah projek perintis yang bertanggungjawab memantau serta mengambil tindakan segera bagi mengawal pencerobohan gajah liar yang sering mengancam keselamatan penduduk di Kampung Basong.
“Pasukan ini bertanggungjawab memantau dan mengambil langkah segera dalam mengawal pencerobohan gajah liar di Kampung Basong,” katanya.
Beliau memberitahu perkara itu dalam sidang media selepas Program Operasi Bersepadu Basong Rangers Kali 1/2025 yang diadakan di Pos Kawalan Sementara Kampung Basong, kelmarin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Mat sert Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin.
Pada 5 Oktober lalu, seorang lelaki warga emas, Musa Ahmad, 65, ditemui maut dengan kesan lebam pada badan serta hidung berdarah selepas dipercayai diserang gajah liar.
Mangsa dilaporkan hilang setelah keluar ke kebunnya di Kampung Basong sebelum mayatnya ditemui sekitar jam 7 pagi di kawasan semak yang dikenali sebagai laluan gajah liar. – HARAKAHDAILY 15/1/2025




















