Pekasam Perlis kekal asli, sasar pasaran luar negara

Razali ketika mengadakan lawatan ke premis pengeluaran dan jualan Pekasam D'Bendang
- Advertisement -

KANGAR: Keunikan pekasam Perlis yang dihasilkan tanpa bahan pengawet menjadi faktor utama ia diminati ramai, malah kini berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura dan Brunei.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan negeri, Razali Saad berkata, pekasam Perlis menonjolkan identiti tersendiri.

Jelasnya, ia menggunakan resipi tradisional yang hanya berasaskan beras, tidak seperti pekasam dari negeri lain biasanya menggunakan gula merah atau asam keping.

“Kaedah tradisional ini memastikan rasa asli pekasam Perlis kekal, menjadikannya pilihan pengguna tempatan dan berpotensi besar untuk dipasarkan di luar negara,” jelasnya.

Antara pengusaha pekasam yang berjaya ialah Mohd Hasbullah Mahmud, pemilik Pekasam D’ Bendang di Jalan Kaki Bukit, Beseri.

Dengan pengeluaran tahunan sebanyak 1,826 kilogram bernilai RM40,428, produknya kini dipasarkan ke seluruh negeri Perlis dan Semenanjung Malaysia menerusi platform digital.

Beliau berkata, permintaan yang semakin meningkat memberi keyakinan untuk memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa dengan sokongan digital dan promosi berterusan.

Selain itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut membantu usahawan pekasam tempatan dengan memberi bimbingan teknikal dan sokongan pemasaran.

“Langkah ini dijangka meningkatkan daya saing produk tersebut di pasaran global,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -