Langgar undang-undang, sensitiviti Islam tercabar!

'Ham & cheese' KK Mart

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat merakamkan rasa terkejut, geram dan kecewa umat Islam berhubung isu penjualan produk ‘ham & cheese sandwich’ yang didakwa dijual di kedai serbaneka KK Mart di Universiti Malaya (UM).

Pengerusinya, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara itu merupakan satu kesalahan yang serius kerana produk tersebut mengandungi bahan tidak halal dan bertentangan dengan prinsip agama Islam.

“Ini bukanlah kali pertama KK Mart sengaja mencetus sensitiviti umat Islam, kerana sebelum ini telah berlaku kes penjualan stoking tertera kalimah Allah SWT oleh rangkaian serbaneka KK Mart pada Mac 2024.

“Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, penjualan produk mengandungi daging babi atau bahan tidak halal di premis beroperasi dalam kawasan institusi pendidikan negara adalah satu perkara yang amat sensitif.

- Advertisement -

“(Ia) tidak seharusnya berlaku,” ujar Ahli Parlimen Temerloh itu dan menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mencabar sensitiviti agama, malah bertentangan dengan peruntukan undang-undang Malaysia.

Peruntukan itu jelasnya, menetapkan bahawa segala produk makanan dijual di negara ini perlu mematuhi garis panduan halal ditetapkan pihak berkuasa sepertimana dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

PAS menurutnya, mengecam keras tindakan penjualan produk tersebut dan meminta pihak berkuasa khususnya PDRM dan KPDN HEP untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak terlibat.

PAS juga tegasnya menggesa pihak kerajaan supaya menggantung operasi kedai serbaneka KK Mart sehingga siasatan selesai oleh pihak  Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN HEP).

Beliau berkata, PAS menyeru kepada semua pihak untuk lebih sensitif dan bertanggungjawab dalam menjalankan urus niaga melibatkan produk makanan, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.

“Syarikat hendaklah memastikan agar produk yang dijual di premis mereka mematuhi piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM.

“PAS berharap perkara sebegini tidak akan berulang dan pihak berwajib dapat mengambil tindakan yang tegas demi memastikan kepentingan umat Islam terjamin,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -