MAHB: Aset negara terdedah eksploitasi oleh entiti asing

Pemuda PN gesa ketelusan kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memandang serius isu lanjutan tawaran pengambilalihan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh konsortium Global Development Alliance (GDA), yang diterajui Khazanah Nasional Berhad dan BlackRock.

Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, langkah melanjutkan tarikh akhir tawaran itu sehingga 17 Januari membuktikan kegagalan rancangan kerajaan dan Khazanah menguruskan aset strategik negara secara telus dan bertanggungjawab.

“Sebagai sayap pemuda PN, kami menyokong penuh pendirian Ketua Pembangkang yang menuntut ketelusan dalam isu ini.

“Fakta bahawa GDA gagal mencapai ambang penerimaan 90 peratus sehingga tarikh akhir awal menunjukkan tawaran RM11 sesaham adalah tidak adil, tidak wajar, dan tidak mencerminkan nilai sebenar MAHB.

“Tawaran ini bukan sahaja merugikan negara, malah membangkitkan persoalan serius mengenai pengurusan dan akauntabiliti Khazanah serta institusi berkaitan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Utamakan kepentingan nasional

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, MAHB adalah aset strategik yang menjadi nadi kepada sektor penerbangan dan pelancongan negara.

Menurutnya, tawaran yang rendah dan lanjutan tempoh itu jelas menunjukkan kegagalan kerajaan dalam mempertahankan kepentingan negara.

Tindakan itu jelasnya, membuka ruang kepada eksploitasi aset negara oleh entiti asing, termasuk pihak yang terpalit dengan dakwaan serius seperti jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.

“Pemuda PN turut mengecam keputusan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang menerima tawaran ini.

“Tindakan KWAP adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat, khususnya penjawat awam yang bergantung kepada dana tersebut untuk masa depan mereka.

“Jika Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut menyusuli langkah ini, ia akan mengesahkan bahawa pengurusan dana awam semakin terpisah daripada tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Tuntutan Pemuda PN

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata, bagi memastikan kepentingan rakyat dan negara dipertahankan, Pemuda PN menyeru tiga langkah.

Pertama katanya, Pemuda PN mendesak agar Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil semua pihak berkepentingan, termasuk pengurusan PNB, KWAP, dan Khazanah, untuk memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat.

Beliau turut menyokong usul penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu itu secara mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang melanggar amanah rakyat.

Kedua jelasnya, Pemuda PN menuntut kerajaan untuk mengkaji semula strategi pengurusan aset strategik negara seperti MAHB.

“Kepentingan negara tidak boleh digadaikan demi keuntungan jangka pendek atau kepentingan segelintir pihak.

“(Ketiga) Kerajaan dan semua institusi berkaitan mesti memastikan bahawa setiap keputusan yang melibatkan aset strategik negara dibuat dengan telus, adil, dan berdasarkan kepentingan rakyat,” serunya.

Pemuda Perikatan Nasional katanya, akan terus memantau isu itu dan menggerakkan usaha untuk memastikan keadilan ditegakkan.

Beliau menyeru rakyat Malaysia, termasuk golongan muda, untuk bersama-sama menyuarakan bantahan terhadap penjualan aset strategik negara yang dilakukan tanpa mengambil kira kepentingan nasional.

“Perjuangan ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal masa depan negara. Pemuda PN akan terus menjadi suara rakyat dalam memastikan ketelusan, integriti, dan keadilan dipertahankan dalam pentadbiran negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -