Perlis padu didikan agama dan TVET untuk generasi baru

Azmir menyampaikan Anugerah Tokoh Pelajar kepada seorang penerima pada majlis itu
- Advertisement -

KANGAR: Penekanan terhadap pendidikan agama serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi fokus utama kerajaan negeri dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan menegaskan tiga perkara asas yang perlu diwariskan kepada anak-anak.

Iaitu peringatnya, pengenalan kepada Tuhan atau ilmu akidah dan ilmu syariat melibatkan pemahaman berkenaan batas halal dan haram, serta akhlak yang baik.

“Akidah, syariat dan akhlak ini adalah asas terdirinya agama kita,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Rendah Islam Al Furqan (SRIAF) di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Setiausaha PAS Negeri, Wan Hassan Ismail; Pengerusi Lajnah Pendidikan Negeri, Azman Jab; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Amrul Amri Chan; dan Pengarah SRITI Negeri, Ustaz Mohd Ridzuan Daud.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Mohd Ridzuan Hashim.

Sekolah yang dipimpin oleh Guru Besar, Ustaz Azmal Zaid, turut mencatat kejayaan cemerlang dalam pelbagai acara seperti Mahrajan Amal Islami SRITI Malaysia 2024, di mana SRIAF menjadi juara Pidato Bahasa Inggeris Perempuan dan Juara Kalam Jamaie.

Dalam bidang sukan pula, SRIAF memperoleh tempat kedua dalam acara 100 meter lelaki di Kejohanan Sukan Olahraga SRITI Malaysia serta mencatat kejayaan juara memanah dan tempat ketiga bola sepak di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Perlis.

Selain itu, pelajar SRIAF juga mewakili negeri dalam Ihtifal KAFA bagi kategori hafazan lelaki dan perempuan serta menulis jawi.

Menurut Ustaz Muhammad Azmir, kerajaan negeri kini memberi penekanan kepada pendidikan TVET melalui kolaborasi dengan institusi seperti Politeknik Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Institut Kemahiran MARA (IKM), sambil memastikan ilmu agama tidak diabaikan.

“Anak-anak kita perlu memiliki kedua-dua ilmu agama dan kemahiran teknikal. Prasarana untuk TVET sudah ada, dan kita harap lebih ramai pelajar dapat memanfaatkannya,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu keciciran pelajar, dengan 221 pelajar yang tidak layak mendapat sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Tambahnya, data terkini menunjukkan 10,000 pelajar tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara, menjadikan mereka tidak layak menerima sijil tersebut.

“Jenayah seksual di Perlis juga meningkat tapi dalam skala yang kecil, kita sedang berbincang untuk mencari penyelesaian, termasuk menekankan peranan agama sebagai panduan menjaga anak-anak agar selamat di luar sana,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2025

- Advertisement -