Isu gangguan hidupan liar perlu tindakan segera

- Advertisement -

KUALA SELANGOR: ADUN Ijok, Jefri Mejan menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangani gangguan hidupan liar seperti monyet, kera dan anjing liar yang semakin meresahkan penduduk.

- Advertisement -

Jefri berkata, gangguan itu bukan sahaja mencetuskan ketidakselesaan, tetapi juga menjejaskan keselamatan dan merosakkan harta benda.

“Minggu ini saya banyak menerima aduan berkenaan dengan masalah gangguan monyet, kera dan anjing. Rata-rata penduduk telahpun membuat aduan mengenai monyet-monyet liar yang sering merosakkan tanaman, rumah dan bumbung rumah.

“Selain itu, ia turut menggangu keselamatan kanak-kanak dan kaum wanita serta mengganggu lalu lintas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, isu itu memerlukan perhatian segera daripada kerajaan, termasuk pelaksanaan Operasi Kawalan Konflik Hidupan Liar  ke seluruh kawasan DUN Ijok mengikut peringkat.

Sementara itu, beliau juga pernah mempersoalkan isu ini di dalam Sidang DUN baru-baru ini demi kesejahteraan penduduk.

“Adakah operasi kawalan konflik hidupan liar seperti monyet dan kera oleh Jabatan Perhilitan didapati berkesan menangani masalah kerosakan kediaman dan tanaman?

“Selain itu, adakah operasi menangkap anjing liar yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) didapati berkesan bagi menangani ancaman keselamatan penduduk khususnya kepada kanak-kanak?” soalnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2025

- Advertisement -