
DUNGUN: Majlis Anugerah Prestasi Murid PASTI Al-Mukmin, Che Lijah yang ceria tiba-tiba bertukar hiba apabila Muhammad Aish Daniel Mohd Faizal, menerima anugerah dengan didukung bapanya sambil diiringi ibunya ke pentas.
Kanak-kanak berusia tujuh tahun yang lebih mesra disapa Aish itu, hidup beliau sempurna sebelum berubah sepenuhnya selepas disahkan menghidap radang otak pada usia enam tahun, tahun lalu.
Kini, adik Aish tidak lagi mampu berjalan, bercakap, atau menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
Bapanya, Mohd Faizal Mohd Kanafi, seorang tukang rumah dan ibunya, seorang suri rumah sepenuh masa tabah mengharungi ujian itu walaupun berat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkongsi pengalaman sebak ketika menghadiri majlis sama di mana kehadiran adik Aish bersama ibu bapanya mengejutkan para hadirin.
“Pada gambar yang pertama itu adalah sewaktu saya berkunjung menziarahi adik Aish di rumahnya, daripada seorang yang boleh bertutur seperti kanak-kanak lain, tiba-tiba menjadi seorang yang senyap dan hanya mampu berada di atas kerusi roda sahaja.
“Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sewaktu menghadiri Majlis Anugerah Prestasi Murid PASTI, saya dikejutkan dengan kehadiran adik Aish.
“Selesai sahaja pelajar-pelajar lain menerima anugerah, pengerusi majlis hari tersebut umum kehadiran adik Aish dan ibu bapanya. Apabila melihat kehadiran adik Aish didukung oleh sang ayah, saat itu air mata saya dan seluruh hadirin dalam dewan tidak dapat menahan rasa sebak
“Semua kenal Adik Aish sebelum ini, seorang yang riuh bertegur sapa dan seorang yang rajin,” katanya dalam satu hantaran laman Facebook miliknya, semalam.
Beliau turut mengajak masyarakat untuk terus mendoakan kekuatan buat keluarga adik Aish dan kesembuhannya.
“Besar ujian buat ibu bapa adik Aish ini, sama-sama kita doakan agar ibu bapanya sentiasa diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menguruskan adik Aish.
“Panjangkan doa juga buat adik Aish agar diberi kesembuhan insyaaAllah. Teruskan sumbangan anda buat adik Aish,semoga kalian semua diberkati Allah SWT,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh terus menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 5630 9102 2554 Dana Kebajikan PASTI Kawasan Dungun.
Sertakan info sumbangan ‘Adik Aish’ beserta bukti transaksi kepada 013-619 5200, Pejabat PASTI Dungun.
“Teruskan sumbangan anda buat adik Aish, semoga kalian semua diberkati Allah SWT,” kata Fadhli. – HARAKAHDAILY 14/1/2025












