
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan menetapkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat mendapatkan Lesen Kekal Perniagaan di negeri ini.
Malah syarat berkenaan hanya membabitkan tujuh kategori sahaja iaitu dapur hotel, premis di lapangan terbang, pusat beli-belah, kopitiam, restoran berantai, restoran makanan segera atau francais dan kedai kek, roti serta kilang perusahaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah sehubungan itu menolak dakwaan keputusan itu boleh menimbulkan implikasi negatif terhadap peniaga kecil termasuk peniaga Melayu.
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen, Lee Chean Chung sebelum ini dalam ulasan terhadap perkara itu dengan mendakwa ia memberi kesan kepada para peniaga.
“Kesemua kategori yang disenaraikan itu diklasifikasikan sebagai perniagaan yang sangat kukuh dari segi kewangan dan tidak membabitkan peniaga kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sebagai menjawab dakwaan Chean Chung langkah Kelantan mewajibkan pensijilan halal tergesa-gesa boleh memberi kesan kepada peniaga kecil dan perusahaan premis tunggal.
Jelas Hilmi lagi, syarat itu sudah lama ditetapkan sesuai dengan Kota Bharu yang sudah masuk tahun ke-20 sebagai Bandar Raya Islam.
“Perkara ini sudah lama cuma kita belum mewajibkannya sahaja. Sebelum ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan sudah melaksanakan kursus kepada semua usahawan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kesemua tujuh kategori itu boleh meneruskan perniagaan tetapi di bawah lesen sementara yang boleh dipohon setiap tahun jika tiada sijil berkenaan.
“Jika lesen kekal boleh berniaga sehingga tempoh lima tahun sebelum lesen diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan 2025 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kota Darulnaim, di sini semalam.
Lee Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata, industri halal sepatutnya berkembang melalui kaedah dorongan dan bukan mewajibkan atau secara paksaan. – HARAKAHDAILY 14/1/2025




















