
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memohon perintah larangan bersuara berkaitan semakan kes Dato’ Sri Najib Razak berhubung Titah Adendum mencerminkan ketakukan kerajaan terhadap ketelusan.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam kenyataannya berpendirian bahawa keterbukaan seharusnya menjadi asas dalam sebuah masyarakat demokratik.
Menurut MUDA, rakyat berhak mengetahui mengapa Titah Adendum melibatkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan kesalahan rasuah dilaksanakan dengan penuh kerahsiaan.
“Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia. Mengapa alasan isu sensitif digunakan untuk menyekat perbincangan awam berhubung perkara yang menyentuh integriti negara?
“Jika suara rakyat dianggap ancaman, siapa yang memohon perintah larangan ini dilaksanakan?” persoal kenyataan yang turut menyifatkan tindakan kerajaan itu dibimbangi akan menjejaskan keabsahan sistem perundangan negara.
Tegas MUDA, keterbukaan akan menjamin integriti institusi lebih kukuh yang oleh itu kerajaan perlu jawab, pihak yang mengarahkan permohonan perintah larangan bersuara ini.
“apakah kepentingan awam yang kononnya dilindungi, atau adakah ini semata-mata soal kepentingan peribadi?” persoal kenyataan itu.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memaklumkan, kerajaan akan memohon di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah larangan bersuara bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu Titah Adendum.
Katanya, permohonan dibuat kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif. – HARAKAHDAILY 14/1/2025











