
TAHUN Melawat Kedah (TMK) 2025, ibarat permulaan mempersadakan keunikan Kedah di peringkat nasional dan antarabangsa.
Seperti negeri-negeri lain, TMK 2025 juga akan menjadi medan memasyhurkan Kedah yang terkenal dengan pelbagai budaya, adat resam, makanan juga kawasan peranginan yang cantik dan indah.
Bersesuai sebuah negeri yang telah menempa tamadunnya terdahulu, kaya dengan khazanah serta peristiwa bersejarah.
Temubual Harakahdaily bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin, mengungkap tawaran yang disediakan kepada para pengunjung sempena TMK yang bermula tahun ini.
Pakej berasas komuniti
Pakej ini berkaitan dengan budaya hidup orang Kedah akan ditawarkan melalui dua bentuk iaitu bermusim dan tidak bermusim.
Menurut Dato’ Salleh, dua pakej yang ditawarkan itu untuk memberi kenikmatan lain dari yang lain agar pengunjung dapat merasai kehidupan sebenar rakyat Kedah.
Pakej bermusim
Pakej bermusim adalah berkaitan aktiviti yang dilakukan pada musim-musim tertentu, contohnya musim padi.
Pada musim padi, pengunjung akan dapat menyaksikan aktiviti di sawah, bermula dari tapak semaian hinggalah ke proses penuaian.
Termasuk kerja-kerja ‘berderau’ iaitu gotong-royong, di pondok, dangau jerami, mengemping dan sebagainya.
Situasi itu akan menjadi pengalaman baharu kepada pengunjung yang belum pernah merasai kehidupan pesawah membanting tulang demi menyumbang makanan kepada orang lain.
Pengunjung akan merasai sendiri pengalaman anak-anak kampung menjalankan aktiviti seperti memancing, menangkap puyu, menyerkap ikan, menahan taut, merelau dan lain-lain.
Ketika musim buah pula, pelancong akan disediakan pakej menarik iaitu pengalaman tidur di dusun, menunggu durian gugur, selain mempelajari membuat lempuk durian dan pelbagai lagi.
Kedah Tourism juga akan menyediakan ‘port‘ atau pondok durian di beberapa tempat terpilih di Kedah sebagai ‘port‘ durian sepanjang tahun, untuk membolehkan pelancong menikmati suasana sedemikian walaupun di luar kebiasaan musim durian.
Pakej tidak bermusim
Bagi tawaran tidak bermusim, TMK 2025 akan menawarkan aktiviti harian seperti permainan tradisional orang Kedah, termasuk makanan orang utara dan lain-lain berkaitan.
Pakej ini juga akan menawarkan ‘keluarga angkat’ bagi membolehkan pelancong menginap dan mengalami sendiri pengalaman kehidupan di kampung-kampung di seluruh Kedah.
Pelancong akan menimba pengalaman yang unik dengan mengenal budaya masyarakat di negeri ini dan pastinya menjadi pengalaman baharu bagi mereka.
Pakej-pakej lain
Selain daripada pakej bermusim dan tidak bermusim, terdapat beberapa pakej lain yang setia menanti para pengunjung.
Antaranya Pakej Sosial Korporat (CSR), di mana menyasarkan sektor korporat terutama yang berada di bawah pakej ini serta sukarelawan untuk menanam pokok hutan dan pokok bakau di kawasan yang disediakan.
Pakej ini pasti mampu menarik minat pengunjung khususnya dari kalangan pencinta alam untuk bersama-sama melakukan kerja-kerja CSR ini demi kelestarian alam yang menjadi habitat flora dan fauna.
Seterusnya Pakej Pelajar yang antara tawaran menarik yang disediakan secara berkumpulan iaitu menyusur jejak Perang Dunia kedua.
Juga meneroka sejarah Kedah Tua di Sungai Batu, Royale Heritage Trail dan lain-lain.
Dalam pada itu TMK 2025 juga tidak menyampingkan Pakej Islamik yang antaranya menjadi mercu kegemilangan Islam di Kedah.
Kedah Tourism akan menyediakan pakej untuk melawat beberapa pusat pendidikan dan kompleks Islam, seperti MADAD di Sungai Petani, serta menjejaki Jejak Warisan Islam di beberapa tempat sekitar Daerah Yan.
Dalam pada itu Pakej Islamic Edu-Tourism juga akan melibatkan sekolah-sekolah pondok di Kedah.
Tidak lengkap sekiranya tida tawaran kepada pengunjung yang sukakan aktiviti lasak serta mencabar.
Pakej ‘Nature and Adventure’ akan menawarkan pakej-pakej yang membawa pelancong meneroka keindahan alam semula jadi di Kedah, meliputi sungai, laut, bukit, gunung, mahupun rimba belantara.
Sementara Dato’ Salleh juga memaklumkan, tawaran pakej atau kawasan tumpuan pelancongan, tidak hanya di Langkawi semata-mata tetapi juga meliputi di tanah besar.
Ramai katanya, apabila sebut TMK 2025, hanya membayangkan fokus utama destinasi pelancongan hanya di Langkawi, sedangkan terdapat banyak lagi tempat menarik di tanah besar yang boleh dilawati dan terokai. – HARAKAHDAILY 14/1/2025











