
ARAU:Komuniti tempatan digalakkan mengusahakan tanaman sendiri di samping dapat menjana pendapatan melalui usaha pertanian.
Antaranya, projek tanaman sawi yang diusahakan komuniti Guar Sanji melibatkan 10 peserta termasuk wakil Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK).
Sehingga kini, projek tersebut bermula dengan tanaman sawi di kawasan seluas 5×30 meter, dibiayai sebanyak RM15,000 oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis, merangkumi kos peralatan dan benih.
Hasil tanaman sawi dipasarkan ke kedai sayur berdekatan, pasar sehari nat, pasar malam dan Pasar Arau.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, projek ini bukan sahaja membantu menjana pendapatan, tetapi juga memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti setempat.
“Kita akan sentiasa menjadi penghubung jika ada di kalangan penduduk yang mahu mengusahakan projek seperti ini.
“Penduduk boleh menambah pendapatan sendiri selain daripada menunggu hasil padi kerana kebanyakan penduduk di sini merupakan petani,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.
Semalam, Muslimat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji bersama MPKK Kampung Guar Sanji turut meraikan kejayaan hasil tanaman sayur-sayuran melalui sistem tanaman para.
Terdahulu, Pusat Khidmat bersama Jawatankuasa Muslimat DUN Guar Sanji yang diketuai Latipah Mat, mewakili ADUN, turut melaksanakan program Ziarah Kasih ke beberapa kampung sekitar kawasan ini.
Program tersebut melibatkan lawatan dan pemberian bantuan kepada warga emas serta pesakit di Kampung Paloh, Kampung Guar Sanji, Kampung Jelempok dan Kampung Telaga Haji Latif, dengan kehadiran Pengerusi MPKK setiap kampung.
“Usaha ini bertujuan menyantuni golongan memerlukan, dengan harapan mereka diberi kesihatan baik dan dipermudahkan urusan kehidupan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/1/2025











