Restoran bukan-Islam tak rasa sijil Halal beban

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengusaha restoran bukan-Islam di negeri tidak ada masalah memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagaimana peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata, pihaknya mahu memperluaskan penggunaan sijil itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri menetapkan syarat baharu termasuk mempunyai SPHM bagi membolehkan pengusaha premis memperbaharui lesen perniagaan masing-masing.

“Saya dimaklumkan bahawa hampir 80 peratus daripada jumlah premis restoran di negeri ini 453, pengusaha makanan ini dimiliki Melayu-Islam, sementara selebihnya oleh bukan-Islam.

“Di Kelantan, kita tiada masalah premis orang bukan-Islam merasakan sijil halal ini terlalu ketat atau membebankan, malah mereka menerima peraturan ditetapkan ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Penyerahan SPHM kepada Nasken Coffee Manufacturing Sdn Bhd dan Nasken Trading Sdn Bhd, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit berkata, premis terbabit dipantau secara tahunan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) bagi memastikan peraturan itu dipatuhi.

Beliau berkata lagi, inisiatif itu dijangka dapat meningkatkan lagi keyakinan pengguna terhadap standard kebersihan dan status halal yang dipatuhi oleh pengusaha kedai makan di negeri ini.

Ujar beliau pelaksanaan syarat tersebut telah diwajibkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan bakal diteruskan  pihak berkuasa tempatan (PBT).

JAHEIK katanya, turut membuka ruang kepada industri kecil dan sederhana, perhotelan serta pengusaha makanan dan minum dari kediaman untuk mendapatkan sijil halal. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

- Advertisement -