KPKT babit orang Islam raya Krismas bertentang fatwa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diingat agar lebih berhati-hati dalam menguruskan sambutan perayaan membabitkan perayaan bukan Islam yang bertentangan dengan agama Persekutuan di jabatan dan premis kerajaan membabitkan penjawat awam beragama Islam.

- Advertisement -

Peringatan tersebut diberikan selepas tular siaran video di media sosial di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengadakan sambutan perayaan Krismas membabitkan penjawat awam beragama Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud memetik Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Perlu dibaca secara menyuruh dengan tafsiran kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam melalui apa jua cara termasuk dalam upacara perayaan agama bukan Islam.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 juga telah mengeluarkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Dr Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.

“Muzakarah telah memutuskan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menggariskan beberapa kriteria yang tidak boleh disertai orang Islam dan bertentangan dengan kaedah Islam.

“Maksud ‘bertentangan dengan akidah Islam’ ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

“Misalnya, menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas. Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama bukan Islam, meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh dan sebagainya.

“Justeru, melibatkan penjawat awam yang bergama Islam dalam perayaan agama Kristian (Krismas) melalui sambutan rasmi jabatan adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Muzakarah Fatwa Kebangsaan melibatkan umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

- Advertisement -