JAKIM perlu tingkat, kemas kini sistem semakan halal

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu menuntut agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempertingkatkan sistem semakan halal agar lebih telus, terkini dan mudah diakses oleh orang ramai.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Majlis Politik Negeri, Nik Nabilah Amanina Nik Ismail berkata, ia bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan pemilik akaun _TikTok_, Rayyan Wong yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja dan Perdana Menteri.

Walau bagaimanapun, individu berumur 22 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis dan mahkamah telah menolak permohonan reman yang dikemukakan disebabkan individu terbabit telah membuat satu permohonan maaf.

Oleh demikian, GAMIS Terengganu memandang serius akan isu itu dan berpendirian bahawa semua pihak perlu memainkan peranan penting.

Nik Nabilah berkata, setiap kritikan hendaklah disampaikan dengan penuh adab dan berdasarkan fakta jelas serta membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh mana-mana pihak.

“Selain itu, penggunaan media sosial memerlukan tanggungjawab yang besar terutama dalam isu-isu sensitif yang melibatkan agama dan institusi negara.

“Seterusnya, pengusaha makanan digalakkan mendaftar sijil halal bagi meningkatkan keyakinan para pengguna terutama pengguna Muslim. Akhir sekali, masyarakat disarankan untuk mengelakkan perkara meragukan yakni syubhah demi menjaga kesucian agama.

“Jika ragu-ragu dengan status halal sesuatu premis, lebih baik ditinggalkan sehingga adanya kepastian,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Rayyan telah memohon maaf dan mengakui kesilapan, isu ini turut menonjolkan kelemahan sistem semakan halal JAKIM yang tidak dikemaskini sehingga mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Kes Rayyan Wong kini masih dalam siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HARAKAHDAILY 26/12/2024

- Advertisement -