
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan memandang serius perkembangan isu saman fitnah ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan.
Pesuruhjayanya, Azhar Yahya berkata, keputusan menolak saman tersebut jelas menunjukkan bahawa sistem kehakiman negara kita berfungsi dengan adil berdasarkan prinsip undang-undang.
“Kami ingin menegaskan bahawa keputusan ini harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak, terutama pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam tindakan dan kenyataan yang dibuat.
“Sebarang tindakan yang boleh mencemarkan keharmonian agama dan sensitiviti umat Islam wajib dielakkan, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di _Facebook_, hari ini.
Beliau turut menyeru agar Hannah Yeoh untuk mengambil tanggungjawab terhadap isu itu demi menjaga integriti dan kredibiliti pentadbiran kerajaan.
“Sebagai pemimpin, beliau perlu bersikap terbuka untuk berehat atau mempertimbangkan peletakan jawatan agar kepercayaan rakyat terhadap kerajaan tidak terjejas.
“Selain itu, kami turut menghargai keberanian Tan Sri Musa Hassan yang telah mengetengahkan isu ini dengan penuh tanggungjawab.
“Tindakan beliau membuktikan keprihatinannya terhadap cabaran yang dihadapi umat Islam serta komitmen untuk mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Justeru, beliau juga menyeru semua pihak agar memainkan peranan masing-masing dalam memastikan sensitiviti agama dan kaum dihormati.
“Pemimpin di semua peringkat mesti bertindak dengan penuh hikmah, mengutamakan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat demi kebaikan bersama.
“Semoga isu ini menjadi peringatan dan pengajaran kepada kita semua untuk melaksanakan amanah dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, Hannah Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut gagal dalam saman fitnah beliau terhadap Musa selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tindakan sivil itu dengan kos RM40,000.
Ia berhubung kenyataan Musa pada forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024











