Tambah khidmat feri ke Langkawi disambut baik

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kesediaan Konsortium Ferry Line Venture Sdn Bhd untuk menambah bilangan perkhidmatan feri dari terminal Kuala Kedah ke Langkawi amat dinanti-nantikan oleh para penumpang tempatan dan pelancong.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakruruddin Sheikh Fakhrurazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, ia merupakan satu syor praktikal dan tepat pada waktunya.

“Saya menyambut baik cadangan pihak konsortium, dan saya yakin dengan pertambahan jadual perjalanan khususnya pada waktu malam ini akan meningkatkan jumlah penumpang ke pulau pelancongan itu,” kata beliau pada kenyataannya, semalam.

Keputusan itu juga katanya, dapat melicinkan lagi perkhidmatan feri terutama sempena sambutan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Terdahulu, Pengurus Besar, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom memaklumkan, pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Laut untuk beroperasi pada waktu malam bagi memenuhi permintaan penumpang.

Kata beliau lagi, pihaknya mendapat kelulusan tersebut bagi beroperasi sehingga waktu malam atau tanpa had masa terutama menjelang TMK2025.

Namun menurutnya, pelayaran feri hanya akan dibuat sekiranya paras air berada pada sekurang-kurangnya 1.5 meter bagi memastikan keselamatan perjalanan.

Dalam pada itu kata Dr Ahmad, kelulusan turut mendapat kebenaran Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) itu juga diharapkan membantu merancakkan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.

“Walau bagaimanapun, kekhuatiran mengenai kecetekan pada laluan feri yang disuarakan ada munasabahnya.

“Jadi dalam hal ini, diharapkan agar pihak MOT dapat mempercepatkan pengerukan pada jaluran berkenaan supaya kedalaman laluan tersebut dapat menghindarkan kejadian feri terkandas berulang,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 23/12/2024

- Advertisement -