Warisan, budaya terus dimartabat di bawah SG4

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerjasama antara negeri terus diperkukuhkan khususnya selepas gagasan empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 dimeterai September tahun lalu.

- Advertisement -

Bagi mencapai hasrat itu satu majlis ramah mesra antara jawatankuasa atau portfolio dalam sektor pelancongan dan kebudayaan Kerajaan Negeri Terengganu bersama Kelantan telah diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Kamarudin Md Noor dalam satu kemaskini Facebook berkata ia sebagai wadah penting.

“Acara ini menjadi platform penting dalam mempereratkan lagi kerjasama antara dua negeri di pantai timur Kelantan dan Terengganu untuk terus memartabatkan warisan dan budaya.

“Seterusnya ini akan membangunkan sektor pelancongan yang menjadi kebanggaan kita bersama,” katanya selepas majlis di Primula Beach Hotel, dekat sini kelmarin.

Kelihatan hadir rakan sejawat iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Razali Idris, serta timbalannya, Sulaiman Sulong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Kelantan itu berkata di bawah gagasan SG4 kedua-dua kerajaan negeri komited untuk berganding bahu bagi memastikan sektor itu dimajukan.

Majlis itu katanya, merupakan ruang terbaik bagi bertukar pandangan dan pengalaman, malah mewujudkan usaha untuk memperkukuhkan agenda pelancongan dan kebudayaan.

“Terima kasih atas layanan istimewa rombongan Kelantan, sokongan padu mencerminkan komitmen untuk bersama-sama memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan.

“Dengan usaha bersepadu ini, kami yakin akan ada banyak peluang baharu yang dapat diterokai untuk memberi impak positif kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2024

- Advertisement -