Perkasa pendidikan, kesedaran keselamatan wanita

- Advertisement -

TELUK INTAN: Pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan wanita perlu diperkasakan bagi menangani isu keganasan dan penderaan terhadap wanita di Malaysia. 

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam menekankan bahawa usaha-usaha ini perlu bersifat holistik dan melibatkan pelbagai pihak.

Jelas beliau, bukan sahaja daripada pihak kerajaan, tetapi menuntut sama peranan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum seluruhnya.

“Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi dan tingkah laku individu. Kita perlu mendidik generasi muda mengenai hak-hak wanita, keganasan rumah tangga dan cara untuk melindungi diri daripada ancaman,” ujarnya.

Dr Rosni menegaskan demikian dalam pembentangannya di Jelajah Munaqashah Ucapan Ketua Muslimat PAS Malaysia (JELAS DMPM) di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI), di sini semalam.

Beliau mencadangkan agar kempen kesedaran awam yang lebih agresif dan berkesan perlu dijalankan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu ini.

Dr Rosni juga menyentuh berkenaan pentingnya kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan dan NGO dalam menangani isu ini. 

Beliau berkata, satu pendekatan bersepadu diperlukan untuk memastikan keberkesanan usaha-usaha pencegahan dan perlindungan wanita. 

“Ini termasuk menyediakan saluran aduan yang mudah diakses, memberi sokongan kepada mangsa, dan memastikan penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap pelaku keganasan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan peranan media yang lebih bertanggungjawab dalam membentuk persepsi masyarakat menerusi laporan isu-isu berkaitan keganasan terhadap wanita, dengan mengelakkan daripada menormalisasikan keganasan atau menyalahkan mangsa.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan wanita. Dengan memperkasakan pendidikan dan kesedaran, kita dapat membina masyarakat yang lebih selamat dan adil untuk semua wanita,” katanya.

Jelajah Munaqashah ini adalah  hasil kerjasama Lajnah Penerangan dan Media Baharu Dewan Muslimat PAS Malaysia serta Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.  – HARAKAHDAILY 23/12/2024

- Advertisement -