
PADANG BESAR: Kem Akil Baligh 2024 disasarkan kepada remaja perempuan berumur antara 10 hingga 15 tahun untuk memberi pendedahan berkaitan fasa akil baligh, perubahan psikologi dan keselamatan diri.
Program anjuran Persatuan Wanita Sejahtera Parlimen Padang Besar (PERMAI) dengan kerjasama Kelab Beliawanis Unggul Arau (KEBAL) berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Islam At-Taqwa, di sini semalam.
Pengarah program, Muzalifah Zulkepli berkata, objektif utama kem ini adalah untuk mendidik remaja berkenaan kesihatan sistem reproduktif dan perubahan tubuh.
Program itu ujarnya, diadakan bagi membimbing remaja untuk membina jati diri selari dengan syariat Islam agar menjadi insan bertakwa yang menyumbang kepada masyarakat.
“Jika kita lihat, ramai remaja hari ini tidak tahu macam mana nak menjaga kebersihan diri selepas baligh ataupun masih belum tahu bagaimana menghadapi fasa baligh.
“Jadi kita bincang dengan ahli persatuan untuk buat program sebegini bagi beri pendedahan kepada anak-anak ini, insyaAllah siri kedua akan diadakan pada cuti sekolah bulan Januari nanti pula.
“Alhamduliah peserta pun aktif bertanya soalan dan nampak seronok dengan aktiviti yang disediakan,” katanya.
Antara slot utama yang disediakan ialah ‘Dah Balighkah Saya?’ oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Noor Aini Harun membincangkan perubahan fizikal dan psikologi semasa baligh.
Juga slot ‘Selepas Baligh, Apa Perlu Saya Lakukan?’ oleh Pensyarah Universiti Tekonologi Mara (UiTM), Ustazah Nadiyah Hasim, menyentuh berkenaan batas-batas pergaulan dan kepentingan menjaga aurat.
Aktiviti turut diserikan dengan sesi permainan interaktif dan kuiz bagi meningkatkan minat peserta.
Seramai 50 peserta hadir memanfaatkan program tersebut terdiri dari pelajar sekolah berdekatan. – HARAKAHDAILY 23/12/2024




















