
KUALA TERENGGANU: Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menyokong penuh usaha memperkasa kewibawaan Mahkamah Syariah di negara ini melalui pelaksanaan hukuman yang berlandaskan undang-undang dan hukum syarak.
Presidennya, Abu Suffian Abu Yaziz berkata, pengukuhan institusi kehakiman Syariah adalah asas penting dalam memastikan sistem perundangan Islam terus relevan, dihormati dan dilaksanakan dengan penuh integriti.
“Usaha ini merangkumi penambahbaikan institusi, pemerkasaan undang-undang serta pelaksanaan penghakiman yang berlandaskan kehendak undang-undang dan hukum syarak.
“Sehubungan dengan itu, PPSM amat menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 11 November lalu.
“(Iaitu) berhubung hukuman sebatan di khalayak umum, iaitu di masjid terhadap pesalah tegar jenayah khalwat,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai bukti ketegasan dan keadilan Mahkamah Syariah dalam menegakkan undang-undang Islam, sekali gus menjadi langkah proaktif dalam menyedarkan masyarakat mengenai keseriusan pelanggaran hukum syariah.
PPSM turut menekankan prinsip ihtiram (penghormatan) terhadap keputusan kolektif panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang mengekalkan hukuman berkenaan.
“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 31(A) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
“(Juga) telah diendorskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu melalui Arahan Amalan No. 11 Tahun 2023,” ujarnya.
Beliau berkata, penyediaan SOP itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), JKSMN, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara dengan cukup teliti dan cermat.
Malah katanya, mengambil kira hak pihak-pihak terlibat dengan hukuman, yang melaksanakan hukuman dan pihak hadir menyaksikan hukuman.
“Dalam usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang Islam, PPSM menolak sebarang pandangan yang mempertikaikan keputusan tersebut kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Tetapi juga boleh diklasifikasikan sebagai satu penghinaan terhadap institusi kehakiman Syariah,” katanya.
Suffian berkata, pihaknya komited untuk terus mendukung dan mempertahankan pelaksanaan undang-undang Syariah yang adil dan berkesan berdasarkan akta enakmen, ordinan dan Perlembagaan Persekutuan.
PPSM turut menyeru semua pihak agar memahami dan menghormati peranan Mahkamah Syariah sebagai institusi perundangan dan kehakiman yang berteraskan hukum Allah dan keadilan sejagat.
“Prinsip mempertahankan Mahkamah Syariah merupakan asas utama kepada kelangsungan ke arah menterjemahkan sistem perundangan Islam yang mementingkan prinsip keadilan, kemaslahatan umum dan menolak perkara merosakkan ummah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2024











