Lantik Thaksin: Meragukan, cemar imej Malaysia

Ustaz Aireroshairi Roslan
- Advertisement -

KUANTAN: Pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dianggap mencemarkan imej negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan yang meragukan dan lebih mengutamakan agenda peribadi berbanding kepentingan negara.  

“Pelantikan ini bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap kredibiliti kepimpinan negara dalam membuat keputusan yang melibatkan reputasi Malaysia di mata dunia.

“Perlu diingatkan bahawa rekod Thaksin Shinawatra penuh kontroversi dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan rasuah di Thailand. Lebih membimbangkan, beliau pernah terlibat dalam peristiwa berdarah Tak Bai.

“(Juga) operasi anti-dadah yang mengorbankan ribuan nyawa tanpa proses perundangan yang adil. Adakah ini contoh kepimpinan yang wajar dijadikan penasihat untuk Malaysia?

“Di tengah-tengah kemelut ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat Malaysia, tindakan melantik penasihat luar negara yang kontroversial ini memperlihatkan kecelaruan pemikiran dalam pentadbiran semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

Sebelum itu, Anwar melantik Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.

Aireroshairi turut mempersoalkan kriteria pemilihan Thaksin, sedangkan ramai pakar tempatan dan serantau yang lebih berkelayakan boleh memainkan peranan tersebut.  

“Terdapat ramai pakar tempatan dan serantau yang lebih berkelayakan untuk memberi nasihat berkaitan ASEAN, tetapi mengapa pilihan jatuh kepada individu yang rekod kepimpinannya dipersoalkan?” tambahnya.  

Beliau melihat pelantikan tersebut adalah episod ‘mujamalah politik’ yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat Malaysia. 

Sehubungan itu, beliau mewakili PAS Negeri Pahang menuntut penjelasan terperinci tentang kriteria pemilihan dan apakah faedah sebenar pelantikan itu kepada negara.

“Kami menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan ini dan memfokuskan kepada usaha menyelesaikan masalah dalaman negara yang lebih mendesak. 

“Malaysia memerlukan kepimpinan yang telus dan berintegriti, bukan yang terkesan dengan kontroversi dan skandal,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2024

- Advertisement -