Sebat di khalayak ramai untuk jaga maslahat umum

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai terhadap individu yang melakukan kesalahan khalwat berulang dilihat lebih menepati ‘maqasid syariah’ dalam menjaga maslahat umum berbanding perasaan malu pesalah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tidak wajar jika masih ada golongan yang mahu hukuman itu diteliti sepenuhnya demi menjaga maruah individu terbabit.

Beliau berkata setelah diberikan kefahaman telah ramai yang mengakui bahawa hukuman mengikut perundangan Islam dan lebih baik berbanding sivil.

“Betul dari segi mudaratnya ia akan memalukan pesalah terbabit tetapi di sana ada maslahat yang lebih besar di mana kita hendak menyedarkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan ini,” ujarnya memetik laporan portal TRDI.my semalam.

Menurutnya, ini kerana perbuatan itu merosakkan masyarakat bukan hanya diri pesalah, bahkan jika dibiarkan tanpa diberi pendidikan dan pengajaran akan meruntuhkan institusi kekeluargaan dan merosakkan masyarakat secara umumnya.

“Bila dilaksanakan hukuman ini, kita hendak menjaga masyarakat agar sentiasa berkeadaan baik dalam suasan harmoni, kita perlu berfikir secara waras iaitu menjaga masyarakat lebih besar daripada menjaga perasaan malu pesalah yang degil,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu menambah, dari sudut ilmu perundangan Islam, ada perkara memalukan diizinkan syarak dan ada yang tidak dibenarkan.

“Perkara memalukan yang diizinkan syarak bahkan digalakkan syarak jika sekiranya terdapat maslahat yang lebih besar.

“Contohnya, sebagaimana melaksanakan hukuman takzir sebat terhadap pesalah degil di khalayak ramai bertujuan untuk menyedarkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan ini dan menjauhinya,” ujarnya.

Pada 16 Disember lalu, beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan hukuman sebatan terhadap pesalah khalwat berulang akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini selepas solat Jumaat, 27 Disember ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu dan memutuskan untuk mengekalkan hukuman tersebut.

Katanya, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memutuskan bahawa permohonan semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

Hasil persidangan itu, ujarnya mahkamah turut memutuskan bahawa hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024, adalah dikekalkan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.

Beliau juga berkata, hukuman sebatan itu akan dijalankan mengikut undang-undang jenayah syariah takzir bagi memberikan pengajaran kepada masyarakat.

Tegasnya, hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir itu adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.

“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan hukuman sebatan itu turut bertujuan untuk membezakan antara sebatan sivil dan syariah yang menitikberatkan aspek mendidik berbanding menyakiti.

“Kerajaan negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar,” katanya. 

Pada 20 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman enam sebatan di luar penjara terhadap pesalah khalwat berulang di sebuah masjid.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail berdasarkan pengakuan bersalah tertuduh di bawah Seksyen 31 (a), Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara yang sepatutnya dijalankan pada 6 Disember lalu digantung buat sementara waktu selepas satu permohonan semakan difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember. – HARAKAHDAILY 20/12/2024

- Advertisement -