
DUNGUN: Muslimat Terengganu tidak duduk diam dan sentiasa berusaha membantu meringankan beban mangsa banjir dalam pelbagai cara, kata Naib Ketua Muslimat PAS Terengganu, Zuraida Md Noor.
Menurutnya, mangsa banjir di Terengganu mencecah 40,000 orang dan hanya dua Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja yang tidak terbabit iaitu DUN Batu Buruk dan DUN Ladang daripada 32 DUN.
“Kita, Muslimat mana mungkin duduk di saat rakyat bergelut dengan situasi banjir yang bukan sahaja memusnahan harta benda malah kehilangan nyawa.
“Fasa pertama, ke Bukit Apit menemui keluarga mangsa runtuhan bukit dan mengedarkan 400 pek makanan di Pengkalan Ajal, Ajil.
“Apabila hujan reda kita mula membersihkan rumah di Kampung La, Hulu Besut. Tetapi keadaan lumpur yang tebal membuatkan kita hanya mampu membersihkan beberapa buah rumah sahaja,” katanya.
Menurut Zuraida, pihaknya turut mengadakan dapur rakyat bertujuan memasak dan menghantar pek makananan untuk 700 penduduk terjejas.
“Seramai 40 sukarelawan pergi ke Kuala Nerus bagi membersihkan 1,500 kediaman terjejas akibat banjir. Melihat kegembiraan pada wajah penduduk membuatkan kami seronok dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Zuraida yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial, Muslimat Terengganu berkata, seramai 50 orang penerima bantuan daripada empat DUN di kawasan Dungun terdiri daripada Muslimat dan Ameerah.
“Untuk fasa ketiga iaitu fasa bantuan kita akan menyumbang barangan dapur dan wang tunai di Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.
“Sumbangan ini untuk jentera, petugas dan ahli jawatankuasa membabitkan 170 keluarga, termasuk yang kita ziarah.
“Fasa keempat pula kita akan ke Rantau Panjang dan Tumpat, Kelantan untuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di sana,” katanya.
Misi anjuran Muslimat PAS Terengganu itu turut dihadiri Setiausaha, Rahimah Muda, Ketua Ameerah Terengganu, Ustazah Asma Abdullah dan Ketua Muslimat Dungun, Khairiah Mokti. – HARAKAHDAILY 20/12/2024













