
ALOR SETAR: ‘The Pearl of Kedah’ merupakan satu program menyasarkan pelajar berumur 13 tahun untuk dijadikan anak angkat, membantu pendidikan serta pembelajaran termasuk jati diri dan keterampilan diri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, ia akan dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Nisa’ dan dibiayai oleh kerajaan negeri melalui portfolio beliau.
“‘The Pearl of Kedah’ ini merupakan program jangka panjang iaitu selama lima tahun, bermula daripada pelajar berkenaan berumur 13 tahun iaitu di tingkatan satu sehinggalah mereka tamat belajar di tingkatan lima.
“Mereka akan dibantu melalui pembelajaran mana-mana mata pelajaran yang mereka lemah yang akan dikendalikan oleh NGO Nisa’ di setiap daerah,” jelasnya kepada Harakahdaily, di sini.
Ujarnya lagi, remaja yang dipilih mengikuti ‘The Pearl of Kedah’ mestilah dari kalangan keluarga kurang berada iaitu B40, belajar di tingkatan satu, tinggal bersama keluarga dan anak sulung dalam keluarga.
Selain itu kata beliau, pelajar itu juga bukanlah dari pelajar yang pintar, tetapi lebih memfokuskan dari kalangan sederhana.
“Pada musim cuti persekolahan, akan diadakan program untuk mereka, sama ada motivasi, pembangunan insan atau lain-lain,” tambahnya lagi.
Dato’ Ashah juga menjelaskan, program itu merupakan program jangka panjang yang bertujuan untuk mengeluarkan keluarga terlibat daripada tahap kemiskinan.
Melalui perhatian dan didikan katanya, peserta ‘The Pearl of Kedah’ ini akan diberi penumpuan untuk membentuk jati diri, kepimpinan serta motivasi diri agar terus berjaya di dalam pelajaran dan menempa kejayaan di menara gading.
“Setakat ini kita mempunyai 120 peserta yang menyasarkan 10 peserta di 12 daerah di Kedah. Tahun hadapan, kita akan minta setiap ADUN memilih lima orang untuk dijadikan anak angkat melalui ‘The Pearl of Kedah’ ini.
“Dengan cara ini juga, anak-anak ini nanti akan dapat membantu menjayakan ‘The Greater Kedah’ dalam tempoh 10 tahun lagi, selain berbakti kepada masyarakat, ibu bapa, keluarga dan agama,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihaknya lebih memberi keutamaan kepada para pelajar luar bandar dan beragama Islam, namun sekiranya terdapat dari kalangan bukan beragama Islam, mereka akan dibantu juga.
Iaitu jelasnya, melalui motivasi atau lain-lain kerana program ‘The Pearl of Kedah’ lebih menyasarkan kepada pembangunan insan serta peradaban Islam.
Kata ADUN Merbau Pulas itu, situasi sekarang sangat menggerunkan dengan kebejatan masalah sosial dan dunia tanpa sempadan yang membawa pelbagai kehancuran.
Justeru, antara matlamat program itu juga jelasnya, adalah untuk membendung agar anak-anak remaja ini tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat dengan menyediakan program berfaedah di musim cuti persekolahan.
“Bila cuti sekolah, mereka ada program, jadi tidaklah banyak masa terbuang begitu sahaja dan secara tidak langsung dapat membendung mereka terlibat dengan aktiviti tidak baik.
“Pelajar golongan sederhana ini, mereka berada di tengah-tengah. Kalau yang baik datang kepada mereka, mereka ikut yang baik tetapi kalau yang tidak baik datang kepada mereka, mereka ikut yang tidak baik,” katanya lagi.
Namun, beliau turut menjelaskan, pemilihan sebagai anak angkat ini bukanlah bertujuan untuk menyara pembelajaran mereka, tetapi memantau serta membantu terlibat memberi fokus kepada pelajaran terutama mata pelajaran yang lemah. – HARAKAHDAILY 18/12/2024




















