Orang awam boleh bantu pantau cerun berisiko

Senator Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penglibatan orang ramai dilihat sebagai langkah penting dalam usaha memantau kawasan cerun berisiko di seluruh negara.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Senator Abdul Nasir Idris meminta penjelasan Kementerian Kerja Raya mengenai langkah praktikal yang boleh diambil oleh masyarakat awam untuk menyokong usaha pemantauan cerun ini.

“Apakah langkah yang boleh diambil oleh masyarakat awam dalam membantu kerajaan memantau cerun berisiko di seluruh negara?

“Selain itu, apakah kementerian mempunyai sebarang program inisiatif perkhidmatan atas talian atau medium lain yang boleh digunakan oleh orang awam untuk melaporkan atau menyemak status cerun berisiko bagi memastikan keselamatan dan tindakan awal dapat diambil?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, orang ramai boleh menggunakan aplikasi MYJalan untuk melaporkan sebarang isu berkaitan cerun, jalan berlubang, perabot jalan, lampu isyarat dan lampu jalan.

“Selain itu, orang awam juga boleh melaporkan isu berkaitan cerun melalui Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR), laman sesawang rasmi JKR atau hotline 24 jam yang tersedia khususnya semasa Monsun Timur Laut (MTL),” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan faktor utama sebilangan cerun di sepanjang jalan seluruh negara dikategorikan sebagai sangat berisiko tinggi serta penyelesaian jangka panjang pengukuhan cerun bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -