Gaza kini umpama bintang mengerdip menyinari alam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perbuatan seorang datuk memeluk mencium mayat cucu perempuan berusia tiga tahun yang terbunuh dalam serangan kejam Israel mendapat perhatian penduduk antarabangsa.

- Advertisement -

Malah dalam ucapan terakhir, Khaled Nabhan yang mengungkapkan kata-kata keramat iaitu ‘jiwa kepada jiwa saya’ telah mengubah persepsi masyarakat Barat terhadap agama Islam.

Semalam, pempengaruh dari Gaza itu telah dilaporkan terbunuh dalam satu lagi siri serangan artileri yang berlaku berhampiran tanah perkuburan di kem pelarian Nuseirat tengah Gaza.

Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam hantaran di Facebook berkata, situasi tersebut mengakibatkan sentimen Islamphobia dalam dunia Barat semakin pudar.

“Umpama bintang surayya di langit Gaza, terang cahayanya sampai ke ufuk barat lalu kerananya, saudara di Barat memeluk Islam. Gaza adalah bintang mengerdip menyinari alam.

“Semoga Allah menggandakan ganjaran ke atas asy-syahid ‘ruh al-ruh’ dan seluruh syuhada,” katanya selepas Khaled dilaporkan terbunuh dalam serangan di Kem Nuseirat semalam.

Kisah terbabit menjadi tular di media sosial selepas cucunya, Reem Ali terbunuh bersama abangnya, Tariq Ali dalam serangan udara tentera Zionis-Israel November tahun lalu.

Israel sehingga kini masih meneruskan pembunuhan beramai-ramai yang telah mengorbankan hampir 45,000 rakyat Palestin dengan kebanyakannya terdiri dari wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut mengeluarkan waran tangkap November lalu bagi membawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu akibat jenayah kemanusiaan di Gaza. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -