Buka peluang operator kedua kendali khidmat rel

Senator Baharuddin Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Baharuddin Ahmad mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pembukaan peluang kepada operator kedua bagi mengendalikan perkhidmatan rel di Malaysia.

- Advertisement -

Beliau berkata, langkah itu dapat meningkatkan kapasiti perkhidmatan sekali gus merealisasikan projek rel Pan-Asia yang menghubungkan Malaysia hingga ke China.

“Perkhidmatan tren elektrik (ETS) ini memanglah sangat baik pada pandangan saya kerana ia sangat efisien, menepati masa dan juga selesa.

“Adakah kerajaan bercadang untuk membuka peluang kepada operator yang kedua selain daripada Keretapi Tanah Melayu (KTM) ataupun syarikat yang mengoperasikan perkhidmatan rel di Malaysia ini untuk menambahkan lagi kapasiti perkhidmatan?

“Seterusnya, perkara itu juga untuk merealisasikan sebagai perkhidmatan rel Pan-Asia dari Malaysia hingga ke China,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata kementerian pada masa ini belum bercadang untuk menambah operator lain, malah memperkasakan KTMB sebagai operator sedia ada.

“Laluan rel Pan-Asia dari Malaysia hingga ke Kunming, China telah mula beroperasi tetapi masih ada beberapa perkara seperti kastam yang perlu diselaraskan,” katanya.

Baharuddin dalam soalan asal minta Menteri Pengangkutan menyatakan statistik bilangan penumpang ETS pada tahun ini khususnya bagi destinasi ke Perlis dan usaha untuk menambah baik perkhidmatan tren yang senantiasa menjadi pilihan utama bagi orang ramai khususnya ketika musim cuti sekolah dan perayaan. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -