Jambatan rosak di Chetok jejas lebih 2,000 penduduk

Zuraidin (kanan) bersama Rusydee ketika meninjau jambatan yang terputus akibat banjir gelombang pertama baru-baru ini.
- Advertisement -

PASIR MAS: Lebih 2,000 penduduk dari beberapa kampung di DUN Chetok terjejas susulan kerosakan jambatan yang berlaku sejak 29 November lalu.

- Advertisement -

Jambatan penghubung utama antara Kampung Rong Chenak, Kampung Mahligai, Sungai Keladi dan Kampung Chetok tidak dapat diguna, menyebabkan kesukaran besar bagi penduduk yang bergantung padanya untuk urusan harian.

ADUN Chetok, Zuraidin Abdullah memaklumkan, jambatan itu amat penting kerana ramai yakni penduduk bergantung padanya untuk ke sekolah, pusat tahfiz, Ladang Rusa dan kawasan sekitar.

“Masyarakat kampung banyak berurusan di kawasan ini, termasuk anak-anak mereka yang bersekolah di sini. Pengguna jambatan ini juga begitu ramai sehingga kerosakan ini memberi kesan besar kepada kehidupan harian mereka,” katanya.

Beliau ditemui sewaktu meninjau jambatan berkenaan bersama Ketua Jajahan Pasir Mas, Rusydee Abdullah serta pegawai dari Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas dan kakitangan Pusat Khidmat DUN Chetok.

Jambatan sepanjang hampir 100 meter dan lebar empat meter itu siap dibina pada 8 Januari 1988 oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terputus akibat banjir baru-baru ini telah menyebabkan Kampung Rong Chenak hampir terasing sepenuhnya dari Chetok.

Kata Zuraidin lagi, penduduk kini terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui Bukit Panau yang memakan masa lebih setengah jam.

“Untuk datang ke sini, mereka terpaksa menggunakan jalan jauh melalui Sungai Keladi, masuk ke Bukit Panau, Bukit Mas, dan Alor Pasir. Jika sebelum ini perjalanan hanya lima minit, kini ia boleh mengambil masa sehingga setengah jam,” jelas Zuraidin.

Beliau turut menambah, sekiranya sungai berkenaan dibersihkan, penduduk mungkin boleh menggunakan bot atau perahu sebagai penyelesaian sementara.

Bagaimanapun kata Zuraidin, perbincangan dengan pihak JPS perlu dilakukan bagi mencari kaedah terbaik untuk menangani masalah ini.

Beliau memberitahu, keadaan jambatan terputus itu turut memberi kesan kepada pendidikan anak-anak yang dianggarkan 120 pelajar sekolah menengah agama dan 200 pelajar tahfiz al-Quran.

Tambahnya, ada ibu bapa yang mempertimbangkan untuk memindahkan persekolahan anak mereka kerana jarak perjalanan yang menjadi jauh berbanding biasa.

“Kemungkinan ada yang terpaksa pindahkan anak ke sekolah lain kerana perjalanan ke sekolah sekarang menjadi terlalu jauh dan memakan masa,” katanya.

Rusydee dalam pada itumemberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membaik pulih jambatan rosak tersebut.

Kata Rusydee, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat lengkap termasuk anggaran kos pembinaan bagi tujuan tersebut.

“Kita akan bawa isu ini kepada NADMA untuk mendapatkan bantuan membina semula jambatan ini. Ketika ini, pihak kami sedang mengumpul maklumat berkaitan kos dan butiran teknikal yang diperlukan,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), menganggarkan kos pembinaan semula jambatan tersebut sebanyak RM10 juta.

Katanya, jambatan itu akan kekal sebagai jambatan satu hala dengan lebar empat meter dan panjang 100 meter, seperti reka bentuk asal.

“Reka bentuk ini mencukupi memandangkan penggunaan jalan di kawasan ini masih relevan. Harapan kami adalah supaya pelaksanaan ini dapat dijayakan demi kepentingan penduduk,” ujar Rushdee.

Beliau berkata, perbincangan di peringkat jajahan telah diadakan bagi memastikan pelaksanaan pembinaan jambatan ini dapat disegerakan.

Tambahnya, jika semuanya berjalan lancar, jambatan baharu dijangka boleh digunakan pada 2026. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -