
ALOR SETAR: Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Karnival Wanita Kedah yang bakal anjuran Pertubuhan Isteri Wakil Rakyat (PIKAT) Kedah.
Program yang diadakan selama dua hari bermula 20 Disember, menawarkan pelbagai pengisian menarik dan bersesuaian dengan semua lapisan umur.
Antaranya, forum eksklusif untuk wanita bertajuk ‘Wanita Paling Bahagia’ menampilkan ahli panel hebat iaitu penceramah bebas yang popular dengan panggilan Ustazah Nony dan Penolong Mufti Kedah, Dr Faridah Ahmad.
Sementara itu di sebelah petang, hadirin akan dihidangkan dengan pandangan serta buah fikiran pakar kesihatan iaitu Pakar Psikiatri, Dr Irdawati Abdul Karim dan Pegawai Sains Pemakanan, Afnida Anuar dalam slot Sembang Santai ‘Kekal Sihat dan Awet Muda’.
Peminat sukan tradisional juga boleh menyertai permainan yang diadakan pada hari pertama, jam 4:30 petang, sementara lain-lain bakal menarik perhatian hadirin iaitu demo memasak pulut kacau, emping, bunga kawat bulu serta tutorial solekan pada jam 3 petang.
Bukan itu sahaja, pada sebelah malam, eksklusif untuk wanita sahaja, akan diadakan ‘Ladies Night’ yang menampilkan tema Kesultanan Kedah Tua selain beberapa pertunjukan pentas.
Pada hari kedua, para hadirin akan dihidangkan dengan slot ‘Pesona Wanita Anggun’ menampilkan perunding imej antarabangsa yang dikenali sebagai Puan Mary.
Karnival Wanita Kedah yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pelbagai produk jualan juga akan diadakan sepanjang program itu berlangsung. – HARAKAHDAILY 18/12/2024











