32 kali Perlis Roadtour Recycling Market dilaksana

- Advertisement -

KANGAR: Program Perlis Roadtour Recycling Market anjuran SWCorp membuktikan keberkesanannya dalam menyemai amalan kitar semula dan membantu golongan memerlukan.

- Advertisement -

Sejak dimulakan tahun 2020, program ini telah dianjurkan sebanyak 32 kali dengan kekerapan enam kali setahun di sekitar pasar pagi dan pasar malam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, inisiatif ini sangat bermakna, bukan sahaja kerana memberi manfaat kepada golongan memerlukan, tetapi juga mendidik masyarakat kepentingan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

“Program ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sesama masyarakat. Usaha mengumpul pakaian terpakai dan mengagihkannya secara percuma.

“(Usaha ini) bukan sahaja meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Terbaru, program ini berlangsung pada 15 Disember di Pasar Pagi Kuala Perlis dengan seawal pagi, suasana di lokasi dipenuhi masyarakat yang hadir untuk mendapatkan pakaian terpakai secara percuma.

Pakaian-pakaian tersebut adalah hasil sumbangan individu prihatin dan organisasi komuniti yang menyokong kempen 3R anjuran SWCorp.

Menariknya, tiada had dikenakan bagi pengunjung untuk menerima pakaian tersebut, dan semua pakaian yang diedarkan berada dalam keadaan baik dan bersih.

Kegembiraan terpancar di wajah penerima, terutamanya keluarga yang mempunyai anak kecil, menggambarkan sangat menghargai bantuan ini.

“Inisiatif seperti ini menggalakkan masyarakat untuk memberi nilai kedua kepada barangan terpakai yang masih elok. Ia mendidik kita untuk tidak membazir dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” tambah Asrul Aimran.

Pihaknya berharap program ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke seluruh negeri Perlis agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai golongan sasaran.

Pada masa sama, ia juga diharap dapat memperkukuhkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

Program Perlis Roadtour Recycling Market sekali lagi membuktikan bahawa gabungan kebajikan dan kelestarian alam mampu mencipta impak positif dalam komuniti. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -