
KUALA LUMPUR: Kejadian cerun runtuh akibat Monsun Timur Laut baru-baru ini telah menyebabkan kerosakan serius di enam negeri dengan kos baik pulih dianggarkan berjumlah RM72.1 juta.
Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kegagalan cerun adalah bencana alam yang sukar dielakkan tanpa penggunaan ilmu dan teknologi baharu.
“Berapakah jumlah kejadian runtuhan tanah dan cerun yang berulang di tempat yang sama setelah selesai dibaik pulih dan apakah upaya kerajaan untuk mengelakkan kerugian berganda?
“Seterusnya, saya mohon penjelasan mengenai perbandingan kos antara baik pulih segera selepas bencana berlaku dengan baik pulih lebih awal ke atas tanah dan cerun berisiko yang telah dikenal pasti sebelum kejadian berlaku khususnya di Kelantan.
“Saya mohon perkembangan rancangan baik pulih ke atas 10 runtuhan tanah cerun yang dikesan di jalan Persekutuan di seluruh Kelantan akibat banjir baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua cerun yang telah dibaik pulih berada dalam keadaan stabil dan tiada kejadian runtuhan berulang.
“Kementerian menggunakan teknologi seperti Sistem Amaran Awal, Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu (Ismas) dan buku data cerun serta dibantu oleh 93 staf yang bertanggungjawab memastikan keselamatan cerun-cerun ini,” katanya.
Dalam soalan asal, Nik Mohamad Abduh meminta Menteri Kerja Raya menyatakan faktor utama sebilangan cerun di sepanjang jalan seluruh negara dikategorikan sebagai sangat berisiko tinggi serta penyelesaian jangka panjang pengukuhan cerun bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. – HARAKAHDAILY 18/12/2024











