“Fly to KL” bersama anak yatim Terengganu beri pengalaman bermakna

- Advertisement -

KUALA NERUS: Seramai 32 orang anak yatim dari seluruh negeri Terengganu hari ini diberi peluang untuk menyertai program khas “Fly to KL” yang julung kali diadakan.

Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, berkata program ini merupakan inisiatif kerajaan negeri Terengganu, di mana setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menghantar seorang anak yatim piatu untuk mengikuti lawatan tersebut.

- Advertisement -

Katanya, program yang diadakan bertujuan memberikan pengalaman baru kepada anak-anak yatim yang rata-ratanya berusia antara 10 hingga 15 tahun dan masih bersekolah.

“Ini merupakan pengalaman pertama bagi mereka menaiki kapal terbang. Sesampai di KLIA 2, kita akan terus ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Aquaria, yang ditaja sepenuhnya oleh Petronas, termasuk makan minum mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media program ‘Terbang ke Kuala Lumpur’ bersama anak yatim piatu Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam. Menurut beliau, program ini dibiayai sepenuhnya melalui tajaan pelbagai pihak dengan jumlah keseluruhan kos mencecah RM80,000.

“Walaupun keadaan ekonomi negeri kurang baik, program ini tetap diteruskan dengan sokongan para penyumbang yang prihatin,” katanya.

Maliaman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, berkata rombongannya telah menginap di Am Transit Inn yang turut memberikan tajaan penuh.

“Terima kasih kepada pihak Am Transit Inn yang telah menaja penginapan dan makan minum kami semalaman,” katanya.

Maliaman berharap program ini dapat memberikan sedikit keceriaan kepada anak-anak yatim yang tinggal bersama saudara-mara setelah kehilangan ibu bapa.

“Jadi, pengalaman ini mungkin dapat merawat duka di hati mereka dan menunjukkan kepada masyarakat dan pihak kerajaan negeri bahawa kita bersama dengan sesiapa sahaja, termasuklah anak-anak yatim yang mungkin ketinggalan dari segi kasih sayang.

“Kita memberi proses pendidikan secara tidak langsung bahawa masih ramai orang yang menyayangi mereka.

“Program ini juga diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai anak yatim,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2024

- Advertisement -