DHPP tumpu susun pelan tindakan setiap peringkat

R. Hareetaran
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat menegaskan komitmennya untuk terus membuat persediaan awal di peringkat akar umbi berikutan kenaikan taraf keahlian kepada Ahli Bersekutu.

- Advertisement -

Setiausahanya, R. Hareetaran berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan proses penyesuaian berjalan lancar dan bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama di kalangan semua ahli.

“Dengan perubahan status keahlian ini, DHPP akan terus memberikan tumpuan kepada penyusunan strategi dan pelan tindakan di setiap peringkat, bagi memastikan penyertaan yang lebih aktif dan berkesan daripada ahli-ahli bersekutu. 

“Persiapan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperkasa dan memperkukuhkan peranan DHPP dalam memperjuangkan kepentingan bersama serta meningkatkan kesedaran politik di kalangan ahli yang menyokong dasar-dasar PAS,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya juga bertekad untuk mengukuhkan hubungan dengan semua pihak bagi memastikan setiap ahli bersekutu dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam landskap politik negara.

“Kami percaya bahawa dengan kenaikan taraf ini, ia akan membuka ruang yang lebih luas untuk sumbangan yang lebih berkesan dari segi idea, tenaga dan usaha dalam memperjuangkan matlamat PAS secara keseluruhan.

“Persediaan di akar umbi akan melibatkan aktiviti penerangan, pengukuhan program latihan, serta penganjuran sesi dialog bersama pemimpin setempat bagi memperhalusi hala tuju dan peranan ahli-ahli bersekutu,” ujarnya.

Menurut Hareetaran, usaha ini dijangka akan meningkatkan pemahaman dan kesepaduan dalam kalangan ahli-ahli di setiap lapisan.

“DHPP sentiasa komited dalam memperjuangkan kebajikan dan hak ahli-ahli bersekutu dan kami yakin, dengan persediaan yang rapi serta sokongan padu daripada semua pihak, matlamat ini dapat dicapai dengan cemerlang,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2024

- Advertisement -