Adakah dunia bakal berdepan Perang Dunia Ketiga?

Serangan peluru berpandu Iran terhadap Israel menunjukkan kelemahan Barat.
- Advertisement -

PEPERANGAN yang sedang berlaku di Timur Tengah ketika ini bukan sahaja konflik serantau yang sudah berlanjutan sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, bahkan lebih besar dan luas lagi.

Ia adalah lanjutan daripada agenda imperialisme Barat sejak Perang Dunia Pertama sehingga kejatuhan Soviet Union pada tahun 1989.

Kejayaan Barat adalah hasil gabungan antara dua ideologi utama, iaitu imperialisme yang meletakkan agenda penguasaan ekonomi dan gerakan Zionisme yang meletakkan agenda politik Yahudi di tengah hati sanubari Dunia Islam, iaitu Palestin.

Imperialisme Barat yang berpaksikan negara Anglo Saxon ( Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia ) menjadikan beberapa lokasi penting di dunia pada hari ini sebagai pangkalan utamanya; negara haram Israel di Timur Tengah, Singapura dan Hong Kong di Asia Pasifik.

- Advertisement -

Hari ini, Barat bermati-matian membantu rejim Zionis Israel mempertahankan tanah jajahannya tanpa mempedulikan ribuan nyawa rakyat Palestin yang terkorban. Tujuannya hanyalah untuk mempertahankan penguasaannya ke atas Timur Tengah. Jika tumpas rejim Zionis Israel, bermakna hilanglah hegemoni mereka serta akan menjadi teori domino meruntuhkan negara-negara Arab ciptaan mereka di Timur Tengah.

Selepas selesai Perang Dunia Kedua dan berkecainya Soviet Union, tercipta New World Order menjadi tanda Barat berada di kemuncak kuasa. Dalam tempoh itu, berlaku beberapa konflik yang dilihat mampu mengancam hegemoni Barat seperti perang Iran-Iraq dan Yugoslavia, namun semuanya dalam keadaan terkawal.

Namun kini semua berubah; hegemoni Barat umpama telur di hujung tanduk, baik dari sudut geopolitik bahkan ekonomi dan ketenteraan. Sebagaimana nasib dan pengakhiran hayat Syarikat Hindia Timur Belanda dan British pada abad-abad lalu yang menguasai dunia, begitu jugalah New World Order ciptaan Barat kali ini, sudah hampir pada nafasnya yang terakhir.

Timur Tengah yang mula dikuasainya sejak tamat Perang Dunia Pertama kini hampir hilang berikutan perang di Semenanjung Gaza yang mampu merebak menjadi perang serantau bahkan dunia. Serangan peluru berpandu Iran ke atas negara haram Israel baru-baru ini jelas memaparkan kelemahan dan kerapuhan Barat. Iran digambarkan sebagai musuh besar Barat dan rejim Zionis Israel hanya kerana tidak tunduk kepada kehendak Barat sejak berlakunya Revolusi Islam Iran pada tahun 1979.

Iran adalah satu-satunya negara di Timur Tengah yang tidak tunduk kepada rejim Zionis Israel serta tidak menyerahkan hasil bumi, maruah, jati diri dan moral kepada Barat.

Libya, Iraq, Syria, Yaman dan Lubnan yang sebelum ini menentang rejim Zionis Israel telah berjaya “didiamkan” oleh Barat. Kini Iran menjadi pembela Palestin dan pendokong utama kumpulan yang menentang rejim Zionis Israel dan Barat. Maka Iran dilihat sebagai musuh utama rejim Zionis Israel dan Barat serta menunggu untuk diserang pada bila-bila masa.

Setelah berjaya menawan dan menguasai Eropah selepas tamat Perang Dunia Kedua termasuk meruntuhkan Soviet Union pada awal 1989, kini kedudukan Barat di Eropah mula tergugat dengan kebangkitan Rusia, negara asal Soviet Union. Ancaman tersebut mula dilihat serius selepas Vladimir Putin menjadi Presiden Rusia. Rusia yang bangkit selepas hancur ekonominya berikutan kejatuhan Soviet Union mula membina kekuatan baik dari sudut geopolitik, ketenteraan mahu pun ekonomi.

Pengembangan NATO ke timur Eropah selepas keruntuhan Soviet Union bertujuan “mengepung dan menjinakkan” Rusia tidak menakutkan Vladimir Putin malah beliau telah memberi amaran awal kepada NATO untuk tidak bertindak melepasi “garisan merah” Rusia iaitu NATO sampai ke Ukraine. Revolusi Maidan di Ukraine pada tahun 2014 adalah permulaan kemasukan NATO ke Ukraine dan pelancaran perang “hybrid” NATO ke atas Rusia.

Perang Ukraine-Rusia sejak Februari 2022 semakin genting ketika ini berikutan berita bahawa NATO telah mengizinkan Ukraine untuk menggunakan peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan Barat bagi menyerang Rusia.

Vladimir Putin telah memberi amaran bahawa tindakan tersebut melanggar “garisan merah” Rusia dan tidak tidak teragak-agak untuk menggunakan senjata nuklear jika keadaan menjadi tidak terkawal. Berdasarkan keadaan terkini, situasi bakal bertambah genting tidak lama lagi.

Keadaan di Asia Pasifik khususnya konflik antara Korea Utara dan Korea Selatan telah sampai ke tahap yang paling genting. Korea Utara baru-baru ini telah mengebom jambatan dan jalan-jalan raya yang menghubungkan Korea Utara dan Korea Selatan. Korea Utara turut mengerah tenteranya bersiap sedia dan menempatkan ribuan tentera di sempadan antara Korea Utara dan Korea Selatan termasuk di pesisiran pantai Selat Korea.

Tindakan Korea Utara tersebut dilaporkan selepas berlaku beberapa kali pencerobohan dron pengintip Korea Selatan ke wilayah Korea Utara. Kemasukan kapal selam nuklear dan kapal perang Amerika Syarikat ke perairan Korea termasuk latihan ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Korea Selatan juga dikatakan antara sebab ketegangan semakin memuncak di Semenanjung Korea.

Terbaharu, NATO, Ukraine dan Korea Selatan menyatakan bahawa lebih daripada 1,500 orang anggota komando dan pasukan elit khas tentera Korea Utara telah berada di Rusia dan akan berperang bersama tentera Rusia di Ukraine. Berikutan berita tersebut, Barat telah mula mengancam Korea Utara. Namun sebenarnya Korea Utara hanyalah musuh Barat pada permukaan sahaja kerana “target” utama Barat adalah China kerana bagi Barat, Korea Utara adalah proksi kepada China.

Berdasarkan kepada ketiga-tiga senario ini, Barat dilihat amat terdesak untuk mengekalkan hegemoninya ke atas seluruh dunia dan tidak teragak-agak menamakan Rusia, China, Iran dan Korea Utara sebagai “Axis Of Evil” dan perlu ditumpaskan segera.

Barat sudah mula hilang kuasanya ke atas geopolitik, ekonomi dan ketenteraan dunia dan demi untuk mengekalkan hegemoni dan kekuasaannya, adakah Barat sanggup “mengaktifkan” perang di kesemua tempat tersebut hingga mengakibatkan berlakunya Perang Dunia Ketiga serta menanggung akibatnya?

5 November 2024 adalah tarikh penting untuk dunia, bukan sahaja untuk pengundi Amerika Syarikat yang akan mengundi untuk memilih antara Kamala Harris atau Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat seterusnya. Ia adalah untuk melihat sama ada Kamala Harris atau Donald Trump mampu mengekalkan hegemoni Barat atau menyebabkan Barat tersungkur di tengah jalan berdasarkan polisi luar negara yang diketengahkan mereka.

Namun naratif dan retorik yang diketengahkan kedua-duanya ketika berkempen adalah sama, Barat perlu melakukan apa sahaja untuk mengekalkan hegemoninya dan “Axis Of Evil” perlu ditumpaskan secepat mungkin.

Ditambah dengan desakan kuat kumpulan pelobi Zionis Yahudi seperti AIPAC dan kumpulan “think tank” pelobi perang yang cukup kuat menguasai politik Amerika Syarikat yang mahukan peperangan segera walaupun sebelum berlangsungnya pilihan raya Presiden Amerika Syarikat bagi membuktikan kepada dunia bahawa Barat masih bertaring walaupun hakikatnya sudah mula kabur dan lemah.

Sebagaimana kata Donald Trump ketika ditemuramah Fox News ketika berkempen di Pennsylvania pada 4 September lalu, Amerika Syarikat sebenarnya sedang berada di ambang Perang Dunia Ketiga. Akhbar dan media utama Amerika Syarikat, The Washington Post pada 16 Oktober lalu menyatakan bahawa sebenarnya Perang Dunia Ketiga telah bermula, baik Donald Trump mahu pun Kamala Harris tidak menyedarinya sahaja.

Apa sekali pun yang berlaku sama ada sebelum atau selepas 5 November ini, jika benar sebagaimana yang diramal atau dinyatakan, sama-samalah kita berdoa agar dunia akan terus aman dan makmur, yang baik mengatasi yang batil, yang benar mengatasi yang salah, yang ingkar dan khianat akan menerima balasan yang setimpal, yang jujur dan ikhlas akan menerima ganjaran, yang syahid dan berjuang ke jalan Allah SWT ditempatkan di syurga Allah SWT bersama-sama para nabi dan rasul serta bumi dan warga Palestin akhirnya bebas dan merdeka dari cengkaman dan penjajahan regim Zionis Israel Insya-Allah. – HARAKAHDAILY 25/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -