
KUALA LUMPUR: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat merakamkan ucapan takziah buat keluarga Naib Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), Kong Tuck Wah atau lebih mesra dikenali ‘Mr Kong’ yang meninggal dunia secara mengejut petang semalam.
Pengerusinya, Dr Halimah Ali berkata, mendiang adalah contoh keterbukaan PAS dalam menerima ahli-ahli bukan Islam yang bukan sahaja diraikan, tetapi diberikan kedudukan dan kepercayaan untuk mereka memainkan peranan secara aktif dan terbuka dalam parti.
“Sepanjang hayatnya bersama PAS, mendiang sentiasa kelihatan melibatkan diri khasnya dalam majlis-majlis anjuran LPN selain program PAS yang lain.
“Mendiang adalah Naib Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) merangkap Pengerusi DHPP Wilayah Persekutuan yang sangat aktif dan sentiasa ke hadapan dalam menjayakan program dan aktiviti khasnya yang melibatkan masyarakat bukan Islam.
“Sebagai sebuah parti inklusif, PAS berhasrat untuk melahirkan lebih ramai lagi tokoh seperti mendiang agar kepentingan dan kebajikan masyarakat bukan Islam akan dapat diperjuangkan PAS dengan lebih berkesan demi memberi keadilan pada semua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kapar, pihaknya turut menghargai segala jasa dan pengorbanan mendiang terhadap perjuangannya sepanjang berada di dalam parti.
“PAS sangat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang terhadap parti dan perjuangan, dan mengharapkan agar pihak keluarga dan waris beliau bertabah dalam berdukacita menerima pemergian beliau.
“Kelibat beliau pasti akan rindui. Selamat jalan Mr Kong,” katanya.
Kong Tuck sebelum ini pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Sepang (MPS) di atas kegigihannya bergerak menyantuni masyarakat bukan Islam untuk memberi kefahaman dan meyakinkan mereka akan perjuangan PAS ketika berada dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.
Mendiang turut diberikan kepercayaan untuk menjadi calon PAS dan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. – HARAKAHDAILY 18/10/2024




















