Santuni penduduk terkepung banjir sebelum ke parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor menziarahi penduduk Kampung Mambang Berulang yang terkepung dengan banjir, pagi tadi sebelum bersiap sedia untuk menghadiri pembentangan Bajet 2025 pada sesi petang di Parlimen.

Menurutnya, agak menakutkan untuk menyeberangi Sungai Semantan kerana arus air masih deras dan laju.

“Alhamdulilah selamat pergi dan kembali,” ujarnya menerusi hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Beliau dimaklumkan hampir 23 buah rumah yang terkepung kerana banjir, sudah menghampiri seminggu.

- Advertisement -

Katanya, penduduk terbabit tidak boleh keluar dan tidak dapat pergi kerja sementara anak-anak tidak dapat ke sekolah.

“Alhamdulilah dapat menyantuni mereka, bertanya khabar dan mendengar cerita keadaan mereka di sini.

“Memberi sedikit sumbangan barangan buat mereka, moga-moga sedikit sumbangan ini memberi makna yang besar buat mereka,” katanya lagi.

Beliau juga meminta maaf kerana tidak dapat lama berada di kawasan itu bersama penduduk kerana perlu bersiap untuk ke Parlimen semula.

Salamiah Mohd Nor menyantuni sebahagian penduduk terkepung banjir di Kampung Mambang Berulang.

“Moga dipermudahkan segala urusan penduduk di sini, ada rezeki berjumpa lagi, insya-Allah.

“Jom sama-sama kita menyumbang dan berkongsi rezeki untuk mangsa banjir di Parlimen Temerloh,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 06028010073541 atas nama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh. – HARAKAHDAILY 18/10/2024

- Advertisement -