
KUALA LUMPUR: “Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon atau Carbon Capture, Utilization and Storage (CCUS) akan dijadikan bukti untuk menunjukkan komitmen negara dalam menangani perubahan iklim dan mencapai matlamat Perjanjian Paris dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke arah Pembangunan Pelepasan Karbon Sifar menjelang 2050.”
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, CCUS merupakan teknologi inovatif yang digunakan untuk memerangkap pelepasan karbon dioksida daripada dilepaskan ke atmosfera.
Menurutnya, karbon dioksida akan disimpan dengan suntikan berskala besar dalam penyimpanan jangka panjang di bekas takungan minyak yang habis.
Beliau berkata, permintaan terhadap CCUS dijangka akan meningkat dengan mendadak disebabkan cukai karbon yang akan dikenakan ke atas syarikat yang melepaskan gas rumah hijau.
“Dengan kemudahan teknologi ini, ia dapat memberi sumber pendapatan baru kepada negara.
“Ia melalui kaedah pemajakan tempat penyimpanan karbon kepada negara luar,” katanya ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Alam Sekitar, Sains dan Perladangan yang disampaikan oleh ExxonMobile.
Tambah Tuan Ibrahim, buat masa sekarang Terengganu, Sabah dan Sarawak adalah negeri yang berpotensi besar dalam menerajui teknologi CCUS.
“Justeru rancangan kerajaan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang berkaitan CCUS diadakan di negara ini amat dialu-alukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024




















