LKAN bongkar kegagalan, penipuan Kerajaan PMX – Pemuda PAS

LKAN bagi Penyata Kewangan Kerajaan 2023 melaporkan, hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat daripada RM1.080 trilion pada tahun 2022 kepada RM1.173 trilion menjelang 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sendiri telah membongkar kegagalan dan penipuan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX).

Pemuda PAS Malaysia melalui akaun Facebooknya berkata, LKAN bagi Penyata Kewangan Kerajaan 2023 telah melaporkan bahawa hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat daripada RM1.080 trilion pada tahun 2022 kepada RM1.173 trilion (2023).

- Advertisement -

 “Ini merupakan peningkatan hutang  sebanyak RM92.918. 

“Bayangkan, dalam tempoh setahun sahaja Kerajaan Madani telah membuat hutang yang paling banyak dalam sejarah negara,” katanya.

Menurutnya, jika diimbas kembali pada suatu masa dahulu PMX berdegar-degar berjanji kepada rakyat untuk terus komited menurunkan jumlah hutang negara yang kononnya paling tinggi dalam sejarah negara.

Tambah kenyataan itu, PMX telah membuat propaganda bahawa hutang negara sedang menurun sejak kerajaan Madani mengambil alih.

“Namun begitu, Laporan Audit Negara telah membongkarkan penipuan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan menyangkal dakwaan bahawa hutang negara turun sejak kerajaan Madani memerintah.

“Pada masa yang sama, kerajaan ini telah memperkenalkan dasar penjimatan dan pengukuhan fiskal negara yang membebankan rakyat iaitu kerajaan telah memperluaskan skop SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dan meningkatkan cukai SST, pengenalan cukai-cukai baru seperti cukai LVG (barang bernilai rendah) sebanyak 10 peratus dan cukai HGVT (barang bernilai tinggi) sebanyak 10 peratus.

“Selain itu, kerajaan turut mengapungkan dan menaikkan harga diesel, menaikkan harga beras, menaikkan bil elektrik dan air serta bakal melaksanakan pemotongan subsidi telur. 

“Demi menjimatkan pembendaharaan kerajaan, Perdana Menteri sanggup memangsakan rakyat.  

“Walaupun begitu, Nisbah Statutori Hutang Kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) 2023 meningkat kepada 62.1% berbanding 57.5% pada tahun 2022 sewaktu negara baru keluar daripada pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan bahawa, walaupun kerajaan pada masa ini telah melaksanakan polisi-polisi yang menekan rakyat, namun masih belum mampu menurunkan hutang dan menambah hasil negara.

“Bukankah dahulu Perdana Menteri pernah membawa pelaburan sebanyak RM170 billion setelah balik daripada lawatan dari China?

“Namun, persoalannya mengapa ia tidak memberikan hasil kepada negara, malah nisbah hutang pula semakin meningkat berbanding dengan saiz ekonomi negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia menyatakan kesimpulan yang boleh dibuat daripada Laporan Audit Negara ialah kerajaan pada hari ini gagal mengurus tadbir negara dengan baik.

“Mereka lebih rela menekan rakyat kebanyakkan berbanding menekan golongan terlebih kaya (super rich) yang kononnya akan memberi ‘backfire’ (makan diri) kepada kerajaan jika kerajaan mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka. 

“Jika dahulu (mantan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan kerana GST dan 1MDB, maka hari ini kerajaan ini wajar dijatuhkan atas kegagalan mereka dalam menyelesaikan masalah negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024

- Advertisement -