
KANGAR: Berikutan amaran dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung fenomena air pasang tinggi dijangka berlaku di negeri ini mulai hari ini hingga 20 Oktober, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Jadual dikeluarkan oleh JPS bertujuan untuk memberi amaran awal kepada penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan terdedah kepada risiko banjir, terutamanya jika air pasang besar ini disertai hujan lebat.
Pengerusi Jawatankuasa Aduan Awam Negeri, Izizam Ibrahim berkata, semua pihak berwajib, telah mengambil langkah awal untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita sudah bersedia dengan keadaan ini, dan pihak berwajib termasuk jabatan-jabatan berkaitan telah bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
“Orang ramai dinasihatkan supaya bersabar dan mengambil langkah keselamatan yang perlu,” katanya meminta penduduk di kawasan berisiko berjaga-jaga sepanjang tempoh berlakunya air pasang tinggi.
Izizam turut menyeru pihak sekolah dan komuniti setempat agar peka dengan situasi ini, terutamanya apabila air pasang dijangka berlaku serentak dengan hujan lebat.
Beliau juga menekankan selain dari persediaan yang dilakukan oleh pihak berwajib, kesedaran dan doa daripada penduduk adalah amat penting untuk menghadapi cabaran ini.
Menurut jadual yang dikeluarkan, paras air pasang dijangka mencapai ketinggian maksimum pada beberapa hari tertentu, termasuk pada hari ini jam 11:45 pagi (3.1 meter) dan 6:00 petang (0.4 meter).
Manakala esok, 17 Oktober jam 12:21 tengah hari (3.4 meter) dan pada 18 Oktober jam 12:58 tengah hari (3.2 meter) serta 19 Oktober jam 1:15 pagi (3.7 meter).
Kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir ketika air pasang tinggi termasuklah Padang Semarak, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Seberang Tok Pi, Kampung Tengah, dan Komalaut.
Manakala, ketika air pasang tinggi bersama hujan lebat, kawasan seperti Kampung Tok Kuning, Kampung Kota Keran, Kampung Bakau, dan Kampung Repoh juga dijangka terjejas.
Antara istilah penting perlu difahami orang ramai ialah ‘Spring Tide’ iaitu fenomena air pasang besar yang meningkatkan risiko banjir kilat disebabkan paras air sangat tinggi.
Juga ‘Neap Tide’ iaitu fenomena air pasang surut yang kurang ketara tetapi masih berpotensi menyebabkan banjir genang sekiranya disertai hujan lebat.
Pihak JPS akan terus memantau keadaan dan mengemas kini maklumat kepada orang ramai di mana penduduk dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini serta mengambil langkah berjaga-jaga. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











