Tanah runtuh: Semua penduduk Jalan E6, Taman Melawati dipindahkan

Lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, Kuala Lumpur pada hari ini, 15 Oktober 2024. (FOTO: Facebook Azmin Ali & Raja Norli Akma)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesemua penghuni 20 unit rumah teres di Jalan E6 Taman Melawati, di siini diarahkan untuk berpindah sementara susulan insiden tanah runtuh yang berlaku hari ini susulan hujan lebat yang melanda Lembah Kelang pada pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan memandangkan kawasan tersebut dipercayai masih lagi berisiko untuk diduduki.

- Advertisement -

Beliau memberitahu media, pihaknya hanya dapat menyampaikan arahan tersebut kepada sebahagian penduduk kawasan tersebut memandangkan selebihnya sedang bekerja di luar lokasi kejadian.

“Kita (polis) bagaimanapun menempatkan pegawai dan anggota kita untuk memaklumkan arahan tersebut supaya dapat mengosongkan kediaman mereka untuk sementara waktu bagi tujuan keselamatan,”  katanya.

Mohd Azam turut menambah maklumat berhubung kejadian tanah runtuh pada jam 10:30 pagi tadi di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6 Taman Melawati telah pun diterima oleh pihaknya.

“Kejadian berkenaan menyebabkan 20 rumah teres terputus laluan utama dan setakat ini sebuah kereta yang diparkir dalam rumah mengalami kerosakan akibat runtuhan tanah.

“Selain itu, kerosakan turut melibatkan sebuah kabin pondok pengawal namun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan semua penduduk telah pun diarahkan untuk berpindah ke dewan serbaguna yang terletak di Jalan E6.

“Pihak polis bersama-sama pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -