
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mewujudkan kertas putih berkenaan kes Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bagi mengkaji sejauh mana ancaman keselamatan dan elemen subversif, termasuk manipulasi terhadap wanita dan kanak-kanak.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, laporan penuh perlu dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang, di mana kementerian-kementerian utama perlu menyertakan pelan tindakan khas dengan tarikh akhir.
“Pada hari ini kita lihat ada satu memo telah dihantar oleh Gerakan Pulangkan Anak-anak Kami (GPAAK), yang turut menyentuh tentang hak kanak-kanak ini dan mereka juga menyentuh tentang CRC (Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak).
“Jadi kita mahu supaya kesemua pihak yang concern tentang isu ini dapat diselesaikan mengikut cara undang-undang dan hak kanak-kanak tidak terabai,” ujar beliau.
Mumtaz mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan isu GISB Holding di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Malaysia perlu teraju henti eksploitasi kanak-kanak
Selain itu, beliau berkata, Malaysia diseru menjadi peneraju usaha menghentikan eksploitasi dan keganasan terhadap kanak-kanak, khususnya dalam kes GISBH yang melibatkan ancaman akidah dan keselamatan.
Kes itu menurutnya mengejutkan kerana sudah beroperasi selama 17 tahun, dengan tindakan kerajaan yang diragui keberkesanannya.
“GISB ni perkara yang sangat mengejutkan kita kerana ini adalah kali ketiga. Kali pertama Al-Arqam, kali kedua Rufaqa dan kali ketiga di mana GISBH ni ditubuhkan pada tahun 2007.
“Erti 17 tahun sudah beroperasi dan apabila operasi global ini dibuat kita sangat terkejut dengan dapatan yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara,” jelas beliau.
Beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan mengenai jumlah laporan polis dan tindakan yang diambil berhubung kanak-kanak dalam kes GISBH selama 17 tahun itu.
“Ini mengejutkan kita dan kita tidak mahu laporan-laporan lain berkaitan kanak-kanak seperti ini juga akan tidak dibuat tindakan. Apabila dibuat tindakan dah sampai ke tahap yang begini menyedihkan,” ujar beliau menunjukkan kerisauan terhadap isu itu.
Beliau juga ingin mengetahui jumlah pelindung yang terlibat serta keberadaan mereka di seluruh negara.
Katanya, kes itu melibatkan isu akidah dan keselamatan, dan oleh itu pelindung perlu mempunyai kepakaran khusus. – HARAKAHDAILY 15/10/2024











