Keadaan bukit di Jalan E6, Taman Melawati masih berisiko

Azmin meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan 6E, Taman Melawati, Kuala Lumpur pada hari ini, 15 Oktober 2024. (Facebook Azmin Ali)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadaan tanah di lereng bukit Jalan E Taman Melawati masih lagi berisiko selepas berlakunya tanah runtuh pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah turun meninjau di lokasi kawasan kejadian  tersebut.

- Advertisement -

“Saya bergegas turun untuk melihat sendiri situasi di lokasi kejadian dan mendengar pandangan dan maklum balas daripada penduduk-penduduk yang terlibat,” katanya dalam akaun media sosial Facebooknya hari ini.

Menurut beliau, beberapa buah rumah di kawasan tersebut  terkesan dan sebuah kereta mengalami kerosakan akibat tanah dan pokok tumbang dari cerun kawasan tersebut.

“Saya dapat melihat air masih turun mencurah dari atas bukit di kawasan Jalan E yang baru sahaja berlakunya tanah pagi tadi. 

“Saya berbincang dengan pasukan Majlis Perbandaraan Ampang Jaya (MPAJ), pihak polis dan pasukan teknikal Pejabat Daerah Gombak mengenai tindakan dan langkah mitigasi mengenai isu tersebut.

“Pada masa ini hujan masih lagi turun dan keadaan tanah di lereng bukit masih terdedah kepada risiko keselamatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Azmin menyatakan telah berjumpa dan mendengar kebimbangan kesemua penduduk yang menetap di kawasan tersebut.

“Saya bertemu dengan penduduk dan mereka melahirkan kebimbangan tentang keselamatan mereka.

“Maka saya meminta supaya pihak yang berwajib dapat mengambil langkah untuk menjaga cerun dan lereng bukit demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk Taman Melawati,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -