Fenomena air pasang besar di Hilir Perak bermula hari ini

Visual fenomena air pasang besar. (FOTO FAIL: Universiti Malaysia Terengganu)
- Advertisement -

IPOH: Fenomena air pasang besar di kawasan Hilir Perak diramalkan berlaku bermula pada hari ini (15 Oktober) hingga Isnin (21 Oktober) depan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak dalam kenyataannya berkata, dalam tempoh berkenaan, paras air tertinggi diramalkan mencecah antara 3.1 meter hingga 3.4 meter.

- Advertisement -

“Kejadian fenomena air pasang besar pada kali ini dijangka berlaku dengan skala yang jauh lebih besar berbanding bulan September yang lalu.

“Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku secara serentak lalu akan menyebabkan berlakunya banjir kilat,” ujar kenyataan disiarkan dalam akaun media sosial Facebooknya.

Menurut kenyataan tersebut, antara kawasan-kawasan yang berisiko tinggi adalah di Taman Karentina, Batak Rabit, Pekan Teluk Intan, Kampung Bahagia, Changkat Jong, kawasan Mukim Sungai Durian dan kawasan yang berdekatan dengan sungai.

Sehubungan itu, JPS menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memantau keadaan cuaca di sekeliling kawasan tersebut.

“Sekiranya hujan lebat dan air laut pasang berlaku secara serentak maka semua penduduk di kawasan-kawasan berkenaan perlu bersedia untuk berpindah ke tempat yang selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -