
KUALA TERENGGANU: Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Perundangan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (LOCUS) kali pertama diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.
Sehubungan itu, beliau merasa cukup berbesar hati kerana dijemput untuk merasmikan buat kali pertamanya mesyuarat itu.
Katanya, LOCUS merupakan salah satu platform bagi memupuk jalinan mesra dan kerjasama yang erat dalam kalangan pegawai perundangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini.
“Sekali gus menjadi menjadi medan perkongsian ilmu berkaitan undang-undang yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujarnya menerusi laman sosialnya, malam tadi.
Menurutnya, platform itu sememangnya satu perkara yang begitu bagus bagi percambahan idea dan perkongsian minda bagi memastikan aspirasi setiap kerajaan negeri.
Ini, tambahnya ke arah menjadikan perkhidmatan PBT lebih dinamik dan berdaya saing terutamanya di dalam skop perundangan.
“Selamat datang juga saya ucapkan buat para peserta ke negeri Terengganu ini,” ujarnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam. – HARAKAHDAILY 15/10/2024












